Shafie perlu fikir semula kesetiaan politiknya, kata presiden PBS

Presiden PBS Maximus Ongkili (kiri) menerima cenderahati daripada setiausaha agung Jahid Jahid pada majlis ulang tahun ke-35 parti itu di Kota Kinabalu malam tadi.

KOTA KINABALU: Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Maximus Ongkili hari ini berkata, Ketua Menteri Shafie Apdal harus berfikir 2 kali tentang kesetiaan politik beliau berikutan pengumuman presiden Warisan itu semalam bahawa Sabah kekal menyokong Dr Mahathir Mohamad, tetapi akan bekerjasama dengan kerajaan persekutuan.

Beliau berkata, kerajaan Sabah pimpinan Warisan memerlukan semua bentuk pertolongan yang boleh diperolehinya daripada Putrajaya.

“Kami percaya rakyat Sabah sangat tidak berpuas hati dengan pencapaian kerajaan Warisan setakat ini.

“Berkait kenyataan Shafie, maka ia merupakan masalahnya kerana ia adalah keputusan beliau.

“(Namun begitu) saya fikir adalah lebih baik mereka memikirkan semula untuk menyokong penuh kerajaan persekutuan dan gabungan yang mendukungnya,” katanya kepada pemberita pada majlis makan malam sambutan ulang tahun ke-35 parti itu malam tadi.

Shafie berkata, Sabah akan terus bekerjasama dengan kerajaan persekutuan bagi memastikan rakyat mendapat faedah dari segi pembangunan dan perkara lain seperti kesihatan, pendidikan dan keselamatan.

Beliau juga berkata, kerajaan negeri komited dalam mengekalkan hubungan kerajaan-dengan-kerajaan, tetapi dari segi kesetiaan politik, ia akan terus menyokong Mahathir.

Kerajaan Sabah terdiri daripada Warisan, DAP, PKR dan Upko.

Dalam pada itu, Ongkili berkata, PBS tidak akan menyertai Perikatan Nasional pada masa ini, sama seperti Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang menyokong perdana menteri, tetapi tidak menganggotai gabungan politik pimpinannya.

Ketika ditanya sama ada PBS mungkin menyertai Perikatan, beliau berkata, “kami mahu kekal bebas di Sabah dan mahu bertanding di sebanyak mungkin kerusi yang boleh pada pilihan raya umum akan datang tanpa terikat kepada mana-mana kumpulan.

“Persahabatan dengan (parti dalam Perikatan) sememangnya ada, tetapi tidak perlulah jadi anggota dalam satu badan. Kami mahu kekal neutral di peringkat nasional kerana mahu menumpukan perhatian kepada Sabah.

“Kami akan sokong dasar dan prpgram yang memberi manfaat kepada rakyat Malaysia di Sabah,” kata ahli Parlimen Kota marudu itu lagi.