Tanpa hujah undang-undang, musuh Muhyiddin beralih kepada tekanan diplomatik

Jim Shannon, seorang ahli Parlimen dari Ireland Utara mewakili sebuah parti konservatif yang menyokong Brexit mendakwa berlakunya ‘kekacauan politik‘ di Malaysia.

PETALING JAYA: Kaedah “perlembagaan” yang menyaksikan Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri berikutan tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) bulan lepas terbukti menghalang musuh politik beliau daripada menggembleng sokongan umum dan melancarkan cabaran mereka.

Sumber dalaman gabungan bekas kerajaan itu berkata, semangat di pihak PH kini jauh berbeza dengan semangat yang wujud semasa rampasan kuasa kerajaan Perak pada 2009, yang berlaku kurang setahun selepas Pakatan Rakyat berjaya menguasai negeri itu, tetapi tumbang kemudiannya berikutan langkah keluar parti beberapa orang Adun DAP.

“Pada waktu itu, langkah tersebut memberi kesan kepada PAS yang pemimpinnya merupakan menteri besar. Mudah bagi kita meraih sokongan awam walaupun terdapat hujah perlembagaan yang menyokong rampasan kuasa di Perak,” kata sumber dalaman PH yang enggan dikenali kepada FMT.

“Tetapi hari ini, PH terdiam, dan ia terpaksa melihat ke luar negara bagi menjana tekanan diplomatik.”

Beliau berkata, pandangan umum jelas memihak kepada Yang di-Pertuan Agong, yang sejak menaiki takhta berjaya memenangi pendapat awam dengan kebiasaannya bertindak di luar protokol rasmi.

Ini jelas terlihat pada reaksi awam mempertahankan Agong berikutan satu artikel pendapat dalam akhbar The Guardian yang kelihatan menyokong PH.

Artikel itu antara lain mendakwa Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mendalangi satu “rampasan kuasa di-raja”. Pakar perlembagaan kemudiannya mengkritik kejahilan akhbar tersebut mengenai prosedur perlembagaan Malaysia.

Sumber memberitahu, satu gelombang baru “tekanan diplomatik” mungkin telah bermula dengan pertolongan satu rangkaian kecil penulis yang “mempunyai hubungan yang baik”, termasuk orang Islam British yang dilihat sebagai kelompok “moderat” dan rapat dengan broker kuasa di Westminster.

Seorang bekas aktivis Islam memberitahu FMT, bukan lagi rahsia bahawa satu rangkaian perunding imej yang berpangkalan di UK telah dibentuk sejak 4 dekad lepas bagi membantu ahli politik Malaysia.

“Bukan juga rahsia apabila keadaan menjadi buruk, bantuan profesional bagi membina tekanan politik dan diplomatik akan berguna,” kata ahli perniagaan itu.

Beliau berkata, London sememangnya berperanan sebagai ibu pejabat imej bagi “ahli politik yang bercita-cita tinggi” di negara bekas jajahan British kerana kedudukannya yang strategik sebagai pangkalan media dan akhbar berpengaruh.

“Di sinilah, pusat akhbar berbahasa Inggeris yang berpengaruh, sesuatu imej itu dibentuk melalui satu kumpulan penulis berbakat yang menghantar artikel dan pandangan kepada jurnal berpengaruh,” kata sumber itu lagi.

Tekanan diplomatik itu nampaknya telah dilancarkan “secara senyap-senyap” semalam, kata satu lagi sumber dalaman PH.

Di Parlimen British semalam, seorang ahli Parlimen membangkitkan persoalan kebebasan beragama yang kononnya terhakis berikutan penyertaan PAS dalam kerajaan gabungan yang diketuai oleh Muhyiddin.

Jim Shannon, seorang ahli Parlimen dari Ireland Utara mewakili Demokratic Unionist Party, sebuah parti Kristian evangelis yang menyokong kuat langkah Britain keluar daripada Kesatuan Eropah memberitahu Dewan Rakyat bahawa pelantikan Muhyiddin mencetuskan “kekacauan politik” di Malaysia.

“Retorik terhadap orang bukan Islam semakin meningkat berikutan pertukaran perdana menteri, sementara golongan radikal Islam diperkuat bagi mendesak kerajaan baru menerima agenda yang akan membataskan hak kebebasan beragama di Malaysia,” katanya sekali gus mendesak Dewan membuat pendirian.

Sumber berkata, ketiadaan kesalahan dari sudut perlembagaan yang menyaksikan Muhyiddin meraih kuasa kerajaan merupakan cabaran terbesar yang dihadapi oleh PH.

“Hakikat bahawa wujudnya kelompangan kuasa selama seminggu dan dengan beratus-ratus ahli Parlimen dipanggil ke Istana Negara, akan menyukarkan hujah bahawa Yang di-Pertuan Agong tidak berfikir panjang sebelum membuat keputusannya.”

Seorang bekas diplomat yang pernah bertugas di London berkata, usaha meraih sokongan diplomatik daripada kerajaan British tidak mungkin berkesan kerana ia sendiri berdepan krisis politik yang memecahkan masyrakat negara itu selama lebih 3 tahun selepas ia meninggalkan blok Eropah.

“Ramai yang tidak berminat untuk bercakap mengenai krisis politik di negara lain sedangkan ekonomi mereka sendiri berdepan masalah,” katanya.

Dalam pada itu, kedua-dua blok politik tampak berdiam diri sewaktu Muhyiddin mendapat ruang selama 2 bulan “bagi memperkuatkan kerajaannya”.

“Kini anginnya ialah tunggu dan lihat. Kumpulan PPBM yang menyokong PH juga berdiam diri, dan terdapat kemungkinan bahawa kesatuan politik orang Melayu akan menjadi natijah akhirnya,” kata satu sumber yang menjangka PPBM akan bersatu semula.

“Sudah tentu mereka tidak mahu dituduh melemahkan sebuah kerajaan Melayu,” katanya.

Blok Muhyiddin terdiri daripada ahli Parlimen PPBM, yang bilangannya diperkuatkan dengan kehadiran ahli Parlimen PKR yang menyokong Mohamed Azmin Ali, Barisan Nasional, PAS dan GPS.

Dr Mahathir Mohamad menuduh Muhyiddin mengkhianati beliau selepas rancangan bekas perdana menteri itu untuk menubuhkan sebuah kerajaan perpaduan gagal mendapat skongan daripada kebanyakan ahli parlimen PPBM.

PH, yang mencalonkan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri berikutan peletakan jawatan Mahathir pada 24 Feb, kemudiannya mencalonkan semula Mahathir dengan harapan untuk menubuhkan semula kerajaan gabungan itu.

Bagaimanapun ia gagal meyakinkan Agong bahawa mereka mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen.