Warga China sembuh Covid-19 mati selepas 5 hari keluar hospital

WHO berkata Covid-19 menyerang mereka yang berusia lebih 60 tahun dan orang yang lemah akibat penyakit lain. (Gambar AP)

PETALING JAYA: Seorang lelaki warga China yang dijangkiti Covid-19, meninggal dunia akibat kegagalan pernafasan, 5 hari selepas keluar daripada hospital di Wuhan, lapor South China Morning Post.

Li Liang, 36, dimasukkan ke Hospital Fangcang, kemudahan sementara yang dibina untuk membendung wabak itu dan dibenarkan pulang 2 minggu kemudian dengan arahan kuarantin selama 14 hari.

Isterinya, Mei berkata, Li tidak sihat 2 hari selepas meninggalkan hospital dengan keadaan mulut kering dan perut bergas.

“Pada 2 Mac, Li berkata dia berasa sakit dan dihantar ke hospital, di mana dia disahkan meninggal petang itu,” kata Mei.

Sijil kematian yang dikeluarkan Suruhanjaya Kesihatan Wuhan mengatakan penyebab langsung kematian Li adalah disebabkan Covid-19 disebabkan kegagalan serta pernafasan tersumbat.

Hospital Fangcang yang dibina bagi merawat pesakit yang mengalami gelaja ringan dan sederhana Covid-19, mengeluarkan notis kecemasan pada Rabu mengatakan lebih ramai pesakit yang sembuh kembali ke hospital setelah jatuh sakit semula.

Hospital itu akan menjalankan ujian antibodi pada semua pesakit sebelum keluar hospital untuk memastikan ia pulih sepenuhnya.

Jumlah kematian di seluruh dunia berhubung wabak Covid-19 melebihi 3,000, di mana China melaporkan lebih 42 kematian pada Isnin.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia berkata virus itu menyerang mereka yang berusia lebih 60 tahun dan orang yang lemah akibat penyakit lain.

Agensi itu berkata kebanyakan mereka yang dijangkiti Covid-19 mengalami gejala ringan, sementara kira-kira 14% menderita penyakit teruk seperti radang paru-paru dan 5% mengalami sakit kritikal.