Belanda akan pantau Covid-19 ketika perbicaraan MH17
Belanda merekodkan kematian pertamanya akibat Covid-19 semalam dengan 46 kes baru menjadikan jumlah kumulatif kepada 128 orang.
AMSTERDAM: Badan kehakiman Belanda berharap perbicaraan kes pesawat Malaysia Airlines MH17 pada Isnin diteruskan seperti dirancang walaupun berlaku peningkatan jumlah kes Covid-19.
Hakim Yolande Wijnnobel berkata badan kehakiman akan memantau perkembangan terkini berhubung wabak virus itu dengan kerjasama pihak berkuasa kesihatan.
“Kami akan terus memerhatikannya. Kami mempunyai RIVN (Institut Kesihatan dan Alam Sekitar Belanda) di sini, yang mengikuti perkembangan dan membuat cadangan, yang kami gunapakai.
“Jadi jika terdapat sebarang perkembangan, kami akan memberitahu anda atau kami akan meletakkannya di laman web kami. Tetapi sekarang, urusan seperti biasa, kes itu akan diteruskan seperti dirancang,” katanya kepada pemberita di pusat media Kompleks Kehakiman Schiphol, semalam.
Pegawai awal minggu ini menasihati orang ramai tidak mengikuti perbicaraan MH17 jika mereka menunjukkan tanda-tanda Covid-19 dan jika baru kembali dari kawasan di mana penyakit itu tersebar.
Ratusan waris mangsa dan wartawan sudah mendaftar menghadiri perbicaraan itu di sebuah mahkamah khas berkawalan keselamatan tinggi berhampiran Lapangan Terbang Schiphol. Prosiding itu akan disiarkan melalui strim video.
Belanda mencatatkan kematian pertamanya akibat Covid-19 semalam, melibatkan lelaki berusia 86 tahun dari Hoeksche Waard yang diuji virus itu pada Selasa.
Sebanyak 46 kes baru yang disahkan di Belanda menjadikan jumlah keseluruhan positif Covid-19 di negara ini kepada 128 pada malam Jumaat, peningkatan mendadak daripada 24 kes pada Selasa lalu.
Penerbangan MH17 ditembak jatuh pada 17 Julai 2014 di wilayah yang dikuasai pemisah pro-Rusia di timur Ukraine.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Empat suspek terdiri daripada 3 warga Rusia dan seorang warga Ukraine. Salah seorang daripada mereka diwakili 2 peguam Belanda manakala 3 yang lain dijangka dibicarakan tanpa hadir.