Covid-19: 10 kes baru dilaporkan menjadikan jumlah 93

Jangkitan Covid-19 semakin meningkat dengan Kementerian Kesihatan menggesa orang ramai tidak melawat negara yang teruk dilanda wabak itu.

KUALA LUMPUR: 10 kes baru Covid-19 dilaporkan setakat tengah hari tadi, menjadikan jumlah kumulatif positif virus itu di negara ini sebanyak 93 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata kesemua kes ini dikesan dan diasingkan untuk rawatan lanjut.

“Kontak rapat kes ini juga sedang dikenal pasti untuk siasatan dan pengambilan sampel selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pertambahan kes itu menjadikan keseluruhannya seramai 75 warganegara Malaysia yang dikesan positif, China (15), dan 3 yang lain masing-masing warganegara Amerika Syarikat, Jepun serta Itali.

Menurutnya, daripada jumlah berkenaan, 23 kes telah sembuh dan didiscaj dari hospital, manakala 70 lagi masih dirawat di beberapa hospital, setakat ini.

Noor Hisham berkata kesemua kes baru yang dilaporkan merupakan kontak rapat kepada kes ke-33, dengan 4 kes merupakan generasi pertama kontak rapat, manakala selebihnya adalah generasi kedua kontak rapat.

Beliau berkata, kesemua kes tersebut dikesan semasa aktiviti pengesanan kontak dan mereka dimasukkan ke hospital untuk tujuan isolasi dan rawatan selanjutnya.

Sementara itu, hasil siasatan terhadap kontak rapat kepada kes ke-26 mendapati satu kluster jangkitan Covid-19 dengan sejumlah 132 kontak rapat dikenal pasti turut berkait dengan kes ke-33.

Daripada jumlah tersebut, menurutnya 18 kes disahkan positif dalam keadaan stabil dan masih dirawat di hospital, manakala 38 didapati negatif dan diletakkan di bawah perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah untuk tempoh 14 hari.

Selebihnya, seramai 76 lagi kontak rapat, masih belum diperoleh keputusan makmal, namun kesemuanya dilaporkan sihat dan diletakkan di bawah perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah, jelasnya.

Noor Hisham turut memaklumkan bahawa kes ke-78 yang dilaporkan semalam, merupakan kes yang dikesan daripada Pesakit Dalam Siasatan (PUI) jangkitan Covid-19.

“Kes ini mempunyai sejarah perjalanan ke Indonesia selama 7 hari bermula pada 13 Feb lepas dan mula bergejala pada 19 Feb lepas.

“Sebanyak 67 orang kontak rapat dikesan dan diambil sampel. Kesemua kontak rapat ini diletakkan di bawah perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah,” tambahnya.

Sementara itu, beliau berkata siasatan dan aktiviti pengesanan kontak rapat terus dijalankan bagi mengenal pasti punca bagi mencegah penularan jangkitan tersebut.

Ini, katanya termasuk mengesan kes sporadik dan kes tempatan melalui pesakit influenza-like-illness (ILI) dan jangkitan pernafasan akut teruk (SARI) yang tiada kaitan dengan sejarah perjalanan ke negara yang terjejas atau kontak dengan kes positif Covid-19.

“Sehingga hari ini, sebanyak 432 sampel diuji dan tiada sampel dikesan positif jangkitan Covid-19. Buat masa ini tiada kes sporadik Covid-19 yang dikesan melalui aktiviti survelan ini,” katanya.