Covid-19: Selangor tangguh program libat penyertaan awam

Kerajaan Selangor berkata, ia membatalkan beberapa program yang melibatkan penyertaan awam sebagai langkah mencegah jangkitan Covid-19.

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor menasihatkan agar program melibatkan penyertaan orang awam ditangguhkan buat sementara waktu susulan gelombang ke-2 Covid-19 yang berlaku ketika ini.

Menteri Besar Amirudin Shari berkata kerajaan negeri membatalkan satu acara maraton pagi tadi melibatkan kira-kira 8,000 peserta serta beberapa program lain sebagai langkah mencegah jangkitan virus Covid-19.

Beliau berkata, pihaknya juga akan berjumpa dengan Kementerian Kesihatan untuk mendapatkan nasihat berhubung perkara itu.

“Mungkin Rabu ini selepas mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) kita akan umumkan langkah seterusnya atau jika perlu pada Isnin atau Selasa ini saya akan buat pengumuman mengenai program yang melibatkan penyertaan awam,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas merasmikan Ekspo Hasil Suri Selangor di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini hari ini.