Covid-19: Singapura sahkan 8 kes baru hari ini

MOH Singapura berkata, 8 jangkitan baru Covid-19 hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes di republik itu sebanyak 138. (Gambar AP)

SINGAPURA: Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura hari ini mengesahkan 8 lagi kes jangkitan Covid-19 menjadikan jumlah kes di negara itu sebanyak 138.

MOH dalam satu kenyataan di sini memaklumkan 4 daripadanya adalah sebahagian daripada kluster yang melibatkan 1 majlis makan malam di SAFRA Jurong pada 15 Feb lepas.

Seperti kes lain, kementerian itu menyatakan 1 kes berkaitan dengan kluster di The Life Church and Missions Singapore, 2 lagi berkemungkinan kes import, manakala 1 kes tidak mempunyai kaitan setakat ini.

Daripada 2 kes import, 1 kes melibatkan wanita penduduk tetap Singapura berusia 37 tahun yang pergi ke London dari 23 hingga 27 Feb, manakala seorang lagi adalah lelaki warga Itali berusia 36 tahun yang memegang Permit Kerja Singapura baru-baru ini terbang ke Amerika Syarikat dari 7 hingga 22 Feb dan ke Itali dari 23 hingga 29 Feb.

Sehingga kini, MOH memaklumkan sebanyak 90 kes pulih sepenuhnya dan dibenarkan keluar hospital.

Daripada 48 kes disahkan yang masih dirawat di hospital, MOH menyatakan kebanyakannya stabil atau bertambah baik, manakala 8 kritikal dan berada di unit rawatan rapi hospital.

Sehingga tengah hari tadi, MOH Singapura mengenal pasti 3,452kontak rapat telah dikuarantin.