GPS setuju sertai Kabinet Muhyiddin, kata Abang Johari

Pengerusi GPS Abang Johari Tun Openg berkata penyertaan GPS dalam Kabinet adalah berdasarkan formula PN+GPS.

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) hari ini mengumumkan persetujuannya untuk menyertai Kabinet yang bakal diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, tetapi tetap tidak akan menyertai Perikatan Nasional (PN).

Pengerusi GPS Abang Johari Tun Openg berkata penyertaan GPS dalam Kabinet adalah berdasarkan formula PN+GPS.

Abang Johari yang juga presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan ketua menteri Sarawak berkata, keputusan itu dibuat semasa perbincangan dengan Muhyiddin beberapa hari lepas.

“Biar saya jelaskan bahawa entiti (politik) kita berasingan daripada PN. Kita bukan PN, kita (GPS) adalah entiti berasingan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi PBB di ibu pejabat parti itu di Jalan Bako di sini.

Menurut beliau, keputusan ini juga dibuat atas 2 premis, iaitu bagi meneruskan perjuangan untuk mencapai apa yang dikehendaki rakyat Sarawak dan membolehkan penyelesaian -isu yang antara lain berhubung Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan cukai jualan negeri yang dikenakan terhadap Petronas.

Penyertaan GPS dalam Kabinet katanya, akan membantu Sarawak menyuarakan perkara ini melalui saluran rasmi.

Abang Johari berkata pada peringkat ini beliau belum dapat mendedahkan jumlah ahli Parlimen gabungan itu yang akan dilantik menyertai Kabinet.

“Jawatan yang akan diberikan juga adalah prerogatif perdana menteri dan kami menyerahkan kepada Muhyiddin sebab kami tahu beliau seorang yang sangat berpengalaman,” katanya.

Abang Johari juga enggan menyatakan siapakah yang dicalonkan oleh GPS untuk menjadi anggota Kabinet itu nanti.

“Saya tidak tahu bila Muhyiddin akan mengumumkan Kabinet ini nanti… mungkinlah dalam 2-3 hari lagi,” katanya.