Malindo Air potong 50% gaji staf akibat Covid-19

Malindo Air mengalami kerugian akibat Covid-19. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Malindo Air mengarahkan kakitangannya mengambil cuti tanpa gaji selama 2 minggu, selain potongan gaji sebanyak 50% susulan wabak Covid-19, lapor Reuters.

Agensi berita itu, memetik memo Malindo Air berkata keputusan itu dibuat susulan wabak Covid-19 menjejaskan permintaan untuk perkhidmatan penerbangan.

Dalam memo itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malindo Mushafiz Mustafa Bakri berkata syarikat penerbangan itu melaksanakan beberapa langkah untuk menghadapi kekurangan pendapatan, termasuk menggantung penerbangan, merayu kepada pembekal menangguhkan pembayaran dan meminta kakitangan mengambil cuti tanpa gaji secara sukarela.

““Dengan hati yang berat, tanpa banyak lagi pilihan kukuh, kami kini tiada pilihan selain meminta anda mengambil potongan hingga 50% daripada gaji asas anda untuk beberapa bulan akan datang sehingga keadaan kembali normal,” kata Mushafiz dalam memo itu.

Pekerja juga diminta mengurangkan jumlah hari bekerja mereka sehingga 15 hari sebulan.

Reuters berkata Malindo Air, anak syarikat Lion Air Indonesia di Malaysia tidak memberi respon berhubung perkara itu.

Malindo Air akan menjadi syarikat penerbangan pertama di Malaysia yang melaksanakan pemotongan gaji gaji pekerja.