PAS pertahan Azhar, tidak perlu letak jawatan pengerusi SPR

Setiausaha agung PAS Takiyuddin Hassan berkata, SPR, di bawah kepimpinan Azhar menjalankan tugas dengan cekap, profesional dan tidak memihak, terutama dalam pengendalian beberapa PRK sebelum ini.

PETALING JAYA: Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun dan ahli badan itu tidak perlu meletak jawatan walaupun kerajan bertukar pimpinan daripada Pakatan Harapan (PH) kepada Perikatan Nasional (PN), kata PAS.

Setiausaha agung parti itu, Takiyuddin Hassan berkata, perlembagaan negara tidak menetapkan bahawa pemegang jawatan dalam SPR perlu melepaskan jawatan setelah negara bertukar kerajaan.

“Jelas dalam perlembagaan tidak ada peruntukan yang bermaksud sedemikian (pengerusi, ahli-ahli perlu meletak jawatan bila kerajaan bertukar), selagi mereka yang dilantik masih mendapat kepercayaan awam.

“PAS melihat SPR di bawah kepimpinan pengerusinya, Azhar Harun menjalankan tugas dengan cekap, profesional dan tidak memihak ketika mengendalikan pejalanan pilihan raya, terutamanya beberapa pilihan raya kecil (PRK) baru-baru ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini terdapat beberapa pihak yang mendesak supaya Azhar dan pesuruhjaya badan itu meletak jawatan.

Desakan itu antara lain dibuat, termasuk oleh bekas timbalan pengerusi SPR, Wan Ahmad Wan Omar dengan alasan bagi memastikan suruhanjaya itu kekal bebas dan berkecuali.

Beliau turut mendakwa SPR dianggotai oleh aktivis pro-PH.