Pengasas harap kerajaan baru tak sekat khidmat Dego Ride

Kerajaan PH pada Ogos bersetuju memperkenalkan perkhidmatan Dego Ride di Malaysia.

PETALING JAYA: Pengasas Dego Ride berharap kerajaan baru terus memberi peluang kepada rakyat menggunakan perkhidmatan e-hailing motosikal pertama Malaysia itu.

Nabil Feisal Bamadhaj berkata perkhidmatan Dego Ride sesuai untuk golongan muda dan pendapatan rendah (B40).

“Kami berharap kerajaan baru membantu golongan tersebut melalui inisiatif perkongsian ekonomi yang berasas motosikal,” katanya kepada FMT.

Pada 2017, kerajaan melarang perkhidmatan Dego Ride dengan alasan keselamatan penunggang dan penumpang dan bekas menteri pengangkutan Loke Siew Fook berkata Putrajaya tidak berhasrat untuk membenarkan perkhidmatan itu.

Kementerian itu berkata kemungkinan penunggang terbabit dalam kemalangan adalah 42.5 kali lebih tinggi berbanding bas dan 16 kali lebih tinggi berbanding kereta.

Nabil Feisal Bamadhaj

Bagaimanapun, kerajaan Pakatan Harapan pada Ogos bersetuju memperkenalkan perkhidmatan itu di Malaysia.

Pada 29 Feb lalu, Yang di-Pertuan Agong melantik Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri baru yang baru susulan peletakan jawatan Dr Mahathir Mohamad.

Mengulas lanjut, Nabil berkata setakat ini perkhimatan Dego Ride berkembang dengan baik dan pihaknya menerima pendaftaran setiap hari untuk menjadi penungang Dego Ride.

“Kami masih terima pendaftaran setiap hari bagi penunggang-penunggang yang ingin menjana pendapatan.

“Alhamdulillah maklum balas yang baik dari pihak penunggang-penunggang di Lembah Klang,” katanya.

Pada 1 Jan lalu, Nabil berkata 4,000 orang sudah memohon untuk menjadi penunggang. Daripada jumlah itu, 100 adalah wanita.