Solat Jumaat di Mekah ‘lengang’ akibat Covid-19

Pekerja pembersihan menjalankan proses penyahkuman di depan Kaabah. (Gambar AP)

JERUSALEM: Dari Baitulmaqdis ke Mekah, umat Islam di seluruh Timur Tengah mengadakan solat Jumaat dibayangi Covid-19, di mana beberapa perhimpunan dibatalkan, sementara aktiviti lain disekat kerana virus itu.

Penyakit itu dipercayai merebak melalui kontak rapat dan pihak berkuasa seluruh dunia menyekat perhimpunan besar, termasuk solat berjemaah di tempat awam.

Di Mekah, kota suci itu lengang selepas dibuka semula pada Jumaat berikutan proses penyahkuman.

“Fakta bahawa ia lengang sangat menakutkan,” seorang jemaah Mesir yang tinggal di Mekah selama lebih 20 tahun memberitahu AFP.

“Saya mempunyai perasaan yang amat pelik dan sukar ketika saya menuju ke masjid. Saya merasakan kekurangan pada Kaabah,” katanya.

Kawasan sekitar Kaabah ditutup pada Khamis untuk pensterilan.

Solat Jumaat di Masjidil Haram biasanya menarik ratusan ribu jemaah, namun minggu ini hanya puluh ribu orang yang hadir.

Imam masjid berdoa agar wabak itu berakhir semasa khutbahnya, sambil memuji keputusan Arab Saudi menangguhkan visa umrah kerana kebimbangan terhadap Covid-19.

“Allah, saya berlindung padaMu dari malapetala dan wabak itu,” kata Sheikh Abdullah Awad Al-Juhani.