Anwar akui hasrat jadi perdana menteri tertangguh dari ke-4 hingga ke-8

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata, beliau sesekali tidak akan menggunakan taktik kotor untuk menjadi perdana menteri kerana ia perbuatan khianat.

KUALA LUMPUR: Anwar Ibrahim mengakui hasrat beliau untuk diangkat menjadi perdana menteri tertangguh dari perdana menteri ke-4 sehingga ke-8.

Presiden PKR itu bagaimanapun berkata, walaupun terpaksa menunggu lama untuk menerajui negara sebagai perdana menteri beliau dan keluarganya tidak sedih, malah tenang menghadapi ujian.

Katanya, beliau boleh menggunakan cara kotor untuk merebut jawatan itu, tetapi tidak sesekali akan melakukannya kerana ia perbuatan khianat.

“Orang kata Anwar nak jadi perdana menteri. Nak pakat nak khianat, saya kata tidak mungkin. Ada orang pelawa (jawatan perdana menteri), yes ada. Saya boleh jadi perdana menteri 2 minggu lalu kalau saya nak runding, tapi pilihan saya bukan khianat kepada sahabat dalam perjuangan.

“…oleh itu tertangguh lagi. Dari 4, 5, 6, 7 dan perdana menteri ke-8 sekarang. Nak jadi ke-9 dah, tapi saya, Azizah, keluarga, kita tenang,

“Sungguh bukan saya pura-pura senyum. Saya tenang. Sungguh,” katanya ketika berucap pada satu acara mingguan di kediaman dekat Segambut, malam ini.

Anwar turut menyifatkan bekas pemimpin PKR yang bertindak menyertai parti lain sebagai “macai” kerana terlalu ghairah mengejar jawatan dan kuasa berbanding memperjuangkan isu rakyat.

Kenyataan itu dipercayai dituju kepada kumpulan bekas timbalan presiden PKR, Mohamad Azmin Ali; naib presiden, Zuraida Kamaruddin bersama 9 lagi wakil rakyat parti itu yang terlibat dalam gerakan menubuhkan kerajaan baru bersama, PPBM, Barisan Nasional (BN), PAS dan GPS.

“Saya tengok, lakonan juak-juak dan macai-macai ini, lompat sana, lompat sini, senyap satu minggu. Tengok-tengok ada kenyataan kata barisan menteri akan diumumkan hari Selasa. Apa punya politik ini?

“Kamu diam, soal rakyat, virus Covid-19, soal kemiskinan, soal peniagaan habis lingkup tidak menjadi perkiraan. Yang menjadi perkiraan, jemaah menteri akan diumum Selasa ini,” katanya dipercayai merujuk kepada kenyataan bekas menteri perumahan dan kerajaan tempatan, Zuraida hari ini.

Terdahulu hari ini, Zuraida dilaporkan berkata, Kabinet Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin oleh Perdana Menteri ke-8 Muhyiddin Yassin dijangka diumum pada Selasa.