Gabungan politik baru hanya akan kuatkan Umno di Melaka, kata penganalisis

Yang di-Pertua Negeri Mohd Khalil Yaakob akan melantik ketua menteri Melaka ke-12 esok. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik berkata, PPBM akan jatuh di Melaka selepas 13 Adun Umno memutuskan hubungan dengan 2 Adun parti itu di negeri berkenaan baru-baru ini.

Putus hubungan itu dipercayai berpunca daripada isu pilihan calon ketua menteri baru.

Perkembangahn itu berlaku walaupun PPBM bekerjasama dengan Umno dan PAS di peringkat persekutuan.

Pensyarah kanan di Universiti Kebangsaan Malaysia, Suffian Mansor berkata, PPBM “terjatuh ke dalam perangkap” dan mungkin akan hilang negeri tersebut kepada Barisan Nasional (BN).

Beliau memberitahu FMT bahawa BN mempunyai majoriti selepas masing-masing seorang Adun PKR dan DAP mengisytiharkan sokongan kepada 13 Adun BN, yang kesemuanya mewakili Umno.

Justeru, BN menuntut supaya jawatan ketua menteri diberikan kepada gabungan mereka, katanya.

Terdapat 28 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka. 15 kerusi diperlukan untuk mendapat majoriti mudah dan 19 kerusi bagi membentuk majoriti 2/3.

Berikutan sokongan daripada Adun Rembia Muhammad Jailani Khamis (PKR) dan Adun Pengkalan Batu Norhizam Hassan Baktee (DAP), Perikatan Nasional kini mempunyai 15 kerusi, sementara Pakatan Harapan (PH) 13.

PPBM, Amanah dan PKR masing-masing mempunyai 2 kerusi, sementara DAP 7 kerusi di DUN Melaka.

Bekas ketua menteri Adly Zahari mewakili Amanah.

“PPBM terperangkap dan tidak boleh berbuat apa-apa sekarang.

“Ia menjangka akan diberikan kerusi ketua menteri, tetapi BN berkeras dan menolak kemungkinan itu.

“PPBM tidak belajar daripada kesilapannya di Johor,” kata Suffian kepada FMT, merujuk kepada BN Johor yang berjaya membentuk kerajaan baru di negeri itu bersama-sama PAS serta sokongan wakil PH negeri yang kini telah berkubur.

Suffian berkata, PPBM tidak boleh berbuat apa-apa di Melaka dan terpaksa menerima keputusan yang dibuat oleh BN.

Terdahulu hari ini PPBM Melaka berkata ia akan menyokong mana-mana orang yang dilantik sebagai ketua menteri.

Timbalan ketua PPBM negeri Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, parti itu konsisten dalam menyokong Yang di-Pertua Negeri Melaka Mohd Khalil Yaakob, yang dijangka menamakan ketua menteri ke-12 negeri itu esok.

“Rakyat mahu kemelut politik di negeri ini ditamatkan dan tidak diteruskan lagi,” kata Rafiq dalam satu kenyataan hari ini.

Seorang lagi penganalisis dari Universiti Utara Malaysia, Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, Adun PPBM perlu memutuskan sama ada mereka mahu menyertai PH, Perikatan Nasional atau menjadi anggota Bebas.

“Pada masa ini, BN tidak mahu bekerjasama dengan PPBM.

“BN hanya memerlukan 2 kerusi untuk membentuk kerajaan dan mereka sedia mendapat sokongan daripada Adun PKR dan DAP,” kata Azizuddin.

Semalam ahli Majlis Tertinggi PPBM A Kadir Jasin mempersoalkan sama ada kedudukan parti itu lebih baik sekarang selepas membuat keputusan keluar PH memandangkan ia kehilangan beberapa jawatan utama di Johor, Melaka dan Perak.

Dalam satu kritikan pedas terhadap parti tersebut, bekas editor itu juga berkata nasib PPBM di beberapa negeri lain tidak diketahui.

PPBM kini berpecah 2 selepas Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah jawatan sebagai perdana menteri pada 1 Mac dengan sokongan beberapa ahli Parlimen PPBM, sementara sebilangan yang lain terus menyokong Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri itu berkata, beliau masih merupakan pengerusi parti tersebut.

PKR, DAP dan Amanah mengisytiharkan sokongan kepada Mahathir.