McDonald’s rancang wujudkan 10,000 peluang kerja menjelang 2025

50 belia berjaya menyelesaikan latihan dalam Program Perantis Vokasional akademi Mcdonald’s.

McDonald’s memperuntukkan pelaburan RM1.2 bilion bagi memperluaskan rangkaian restoran dan perniagaannya dalam tempoh 5 hingga 7 tahun akan datang.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Azmir Jaafar, berkata menerusi sebahagian daripada pelaburan itu, syarikat merancang untuk membuka 150 lagi cawangan dengan mewujudkan lebih kurang 10,000 peluang pekerjaaan menjelang 2025.

Katanya, buat masa ini terdapat 300 cawangan McDonald’s di seluruh negara dan pihaknya merancang untuk membuka cawangan baharu menjadikan keseluruhan 450 cawangan menjelang lima tahun akan datang.

“Untuk tahun ini saja, kami merancang membuka 25 cawangan baharu McDonald’s dengan setiap cawangan membabitkan pelaburan antara RM5 juta hingga RM6 juta.

“Dengan membuka cawangan baharu secara tidak langsung kami membuka peluang pekerjaan kerana satu cawangan selalunya memerlukan 80 hingga 100 kakitangan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas McDonald’s Malaysia buat julung kalinya mengadakan Majlis Konvokesyen Akademi Vokasionalnya kepada hampir 50 belia yang berjaya menyelesaikan latihan dalam Program Perantis Vokasional akademi restoran makanan segera itu.

Menurut Azmir program berkenaan merupakan usaha Mcdonald’s Malaysia dalam meningkatkan piawaian pembangunan modal insan syarikat dan memupuk bakat baharu dalam kalangan belia seiring dengan agenda negara memperkasa Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Mcdonald’s sasar wujudkan 10,000 peluang pekerjaan menjelang 2025.

“Program ini juga merupakan program latihan berteraskan latihan industri berasaskan industri selama 18 bulan menggabungkan 70 peratus latihan praktikal di restoran McDonald’s dan 30 peratus kelas teori di bilik darjah,” katanya pada sidang media selepas majlis konvokesyen yang disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (KSM) Amir Omar.

Azmir berkata program itu merupakan kerjasama McDonald’s Malaysia dan KSM berdasarkan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) yang telah diperkenalkan kementerian.

“Sebaik sahaja belia ini tamat latihan, mereka akan dianugerahkan dengan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 yang diiktiraf oleh KSM, dan seterusnya layak mengembangkan lagi kerjaya mereka di McDonald’s atau dalam industri perkhidmatan makanan di negara ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata restoran makanan segera itu komited menyasarkan seramai 5,000 orang perantis menjelang penghujung tahun ini.

“Program perantis ini telah diperkenalkan pada tahun 2018 dan setakat ini secara keseluruhannya kita telah mempunyai 1,200 belia di seluruh negara yang sedang mengikuti program ini dan kita akan tambah 3,800 lagi menjelang akhir tahun ini.”

Mcdonald’s sasar untuk menambah 150 restoran makanan segera dalam tempoh 5 tahun.

Mcdonald’s Malaysia turut bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan dan beberapa agensi lain termasuk Pusat Zakat Negeri dan Jabatan Kebajikan Masyarakat dalam pengambilan anak-anak berpendidikan khas dan remaja dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah dalam akademi itu.

Mcdonald’s Malaysia turut menyasarkan untuk menambah 150 restoran makanan segera menjelang 2025 yang bakal menyediakan lebih 10,000 tenaga kerja di negara ini terutama kepada perantis daripada akademinya.

Jelasnya, setakat ini, selain bangunan Akademi Vokasional McDonald’s di Kuala Lumpur, McDonald’s mempunyai tiga lagi pusat latihan di Selangor, Pulau Pinang dan Johor bagi pembelajaran teori dan juga vokasional untuk mendedahkan pelajar dalam situasi kerja sebenar.

Program Perantis Akademi Vokasional itu ditaja sepenuhnya oleh Mcdonald’s Malaysia dan secara keseluruhannya RM30,000 telah dibelanjakan untuk seorang perantis termasuk pemberian elaun bulanan sebanyak RM1,200, kemudahan tempat tinggal, faedah perubatan dan makanan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]