Muhyiddin hantar surat untuk bertemu Mahathir, kata Wan Saiful

Ahli Majlis Tertinggi PPBM Wan Saiful Wan Jan berkata, ahli parti itu perlu mendesak dan merayu pemimpin atasan mereka supaya berdamai dan kembali bekerjasama.

PETALING JAYA: Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin didakwa menghantar surat kepada Dr Mahathir Mohamad untuk bertemu selepas kedua-dua pimpinan itu dilihat tidak sehaluan.

Ahli Majlis Tertinggi PPBM, Wan Saiful Wan Jan berkata perkara itu dimaklumkan pada pertemuannya dengan Muhyiddin Jumaat lepas.

“Muhyiddin berkata beliau telah cuba mengatur pertemuan dengan Mahathir.

“Beliau juga menghantar surat kepada Mahathir memohon untuk bertemu. Hanya menunggu tarikh daripada Mahathir sahaja,” katanya dalam satu kenyataan.

Wan Saiful juga meminta ahli parti itu mendoakan agar Mahathir sudi bertemu secepat mungkin dengan Muhyiddin.

Semalam, Mahathir berkata perpecahan dalam PPBM antara penyokongnya dengan Muhyiddin boleh diatasi apabila parti itu mengadakan pemilihan.

Mahathir mengakui wujudnya perpecahan dalam parti berkenaan.

Dalam pada itu, Wan Saiful berkata, majoriti ahli PPBM mahukan pucuk pimpinan parti kembali bersatu.

Beliau berkata ahli PPBM perlu mendesak dan merayu pemimpin atasan mereka supaya berdamai dan kembali bekerjasama.

“Parti kita terbina atas kekuatan 3 tokoh utama iaitu Mahathir, Muhyiddin dan Mukhriz Mahathir.

“Saya harap kita berhentilah mengeluarkan kenyataan atau menganjurkan majlis yang tidak membawa perdamaian,” katanya.

Wan Saiful juga berkata tidak perlulah pimpinan PPBM pergi ke media tempatan atau antarabangsa untuk meruntuhkan parti.

“Kita selesaikanlah secara dalaman dengan semangat satu keluarga.

“Dalam keadaan begini, menganjurkan majlis salat hajat dan munajat mendoakan penyatuan kembali pemimpin kita adalah lebih baik,” katanya.

PPBM dijadualkan mengadakan pemilihan sulung parti itu pada 4 Apr depan.

Mahathir meletak jawatan sebagai pengerusi PPBM pada 14 Feb dan berundur daripada jawatan perdana menteri pada hari yang sama.

Pada 29 Apr Muhyiddin berkata, beliau akan memangku jawatan pengerusi sehingga pemilihan parti.

PPBM yang ditubuhkan oleh Mahathir pada 2016 keluar gabungan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 24 Feb menyebabkan tumbangnya kerajaan PH.

Di bawah Muhyiddin, PPBM membentuk satu gabungan baru dengan Barisan Nasional (BN) dan PAS yang dinamakan Perikatan Nasional sementara beliau dilantik sebagai perdana menteri pada 1 Mac setelah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultah Ahmad Shah.