Noraini: Wanita Umno sokong Zahid sertai Kabinet baru

Wanita Umno percaya Ahmad Zahid Hamidi perlu berada dalam Kabinet demi maruah parti itu, selain membantu perdana menteri dalam pentadbiran kerajaan.

PETALING JAYA: Wanita Umno menyokong penuh presiden parti itu, Ahmad Zahid Hamidi untuk berada dalam Kabinet baru yang bakal dibentuk oleh Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Ketuanya, Noraini Ahmad percaya Zahid perlu berada dalam barisan Kabinet kerajaan demi maruah parti, seterusnya membantu perdana menteri dalam pengurusan pentadbiran negara.

“Wanita Umno dengan ini menzahirkan sepenuh sokongan kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk berada dalam barisan Kabinet yang bakal dibentuk,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, Wanita Umno juga mengucapkan jutaan tahniah dan terima kasih kepada Zahid yang menawarkan diri untuk tidak dilantik dalam barisan Kabinet kerajaan baru yang diterajui oleh Perikatan Nasional (PN).

Noraini Ahmad

“Ini jelas menunjukkan jiwa besar pemimpin Umno dan perlu dicontohi semua pihak,” katanya.

Terdahulu hari ini pengerusi Umno Sabah Bung Mokhtar Radin menggesa Muhyiddin memberikan Zahid peluang menyertai Kabinet persekutuan dengan berkata, presiden Umno itu belum didapati salah oleh mahkamah.

Bung Mokhtar berkata, seseorang adalah tidak bersalah sehinggalah dia didapati salah oleh mahkamah.

Umno Kedah turut memberi gesaan sama kepada Muhyiddin, walaupun mengakui kuasa melantik menteri terletak di tangan perdana menteri.

Pengerusinya, Jamil Khir Baharom berkata, Zahid perlu sama-sama berada dalam barisan Kabinet dalam menentukan corak pentadbiran negara.

Juga senada ialah Umno Kelantan yang menyifatkan keberadaan Zahid dalam Kabinet adalah sebagai lambang maruah parti.

Zahid berdepan 47 pertuduhan, iaitu 12 tuduhan pecah amanah jenayah, 8 rasuah dan 27 tuduhan pengubahan wang membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Semalam Zahid berkata, beliau memutuskan untuk tidak menawarkan diri untuk dilantik ke dalam Kabinet Muhyiddin, yang dijangka akan diumumkan dalam masa terdekat.