Saksi: Bekas ketua SPRM mahu peguam negara dakwa Najib berhubung wang RM42 juta

Abu Kassim Mohamed merupakan ketua pesuruhjaya SPRM ketika tercetusnya skandal 1MDB.

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai penyiasat dari Bukit Aman memberitahu Mahakamh Tinggi bahawa bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Abu Kassim Mohamed mencadangkan kepada peguam negara (AG) ketika itu Abdul Gani Patail pada 2015 supaya mendakwa Najib Razak berhubung dana SRC International sebanyak RM42 juta yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi beliau.

R Rajagopal daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman berkata, Abu Kassim membuat cadangan itu pada satu mesyuarat yang dihadiri oleh pasukan petugas khas 1MDB di rumah Gani pada 4 Julai 2015.

Rajagopal berkata, beliau menghadiri mesyuarat itu bagi mewakili ketuanya, iaitu ketua polis negara pada masa itu Khalid Abu Bakar.

Turut hadir termasuklah Zeti Akhtar Aziz, yang merupakan gabenor Bank Negara ketika itu dan pengarah Jabatan Perisikan Kewangan dan Penguatkuasaan bank pusat itu, Abdul Rahman Abu Bakar.

“Beliau (Abu Kassim) beritahu perkara ini kepada AG,” katanya ketika menjawab pertanyaan peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah sama ada sesiapa mencadangkan tindakan undang-undang diambil berhubung dana RM42 juta milik SRC International.

Rajagopal berkata, Gani tidak membuat keputusan sama ada akan mendakwa Najib.

Abu Kassim, yang kini mengetuai Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC) merupakan ketua pesuruhjaya SPRM dari Januari 2010 hingga Ogos 2016.

Gani merupakan peguam negara dari 2002 sehingga beliau digantikan dengan Mohamed Apandi Ali pada Julai 2015.

Rajagopal memberitahu mahkamah bahawa pada peringkat awal, kedua-dua polis dan SPRM menyiasat kes “derma” RM2.6 bilion.

Polis memulakan siasatan ke atas 1MDB susulan satu laporan yang dibuat oleh Khairuddin Abu Hassan pada 12 Dis 2014.

Ketika ditanya oleh pendakwa raya ad-hoc V Sithambaram kenapa Abu Kassim membuat cadangan itu, Rajagopal berkata, terdapat bukti jejak wang yang menunjukkan RM42 juta daripada SRC International dimasukkan ke dalam akaun bank Najib.

“Saya mengulang ingat percakapan dalam mesyuarat itu berdasarkan rakaman audio yang didedahkan oleh SPRM tahun lepas,” katanya merujuk kepada 9 klip audio perbualan telefon membabitkan bekas pemimpin kerajaan yang dikeluarkan oleh agensi pencegah rasuah itu.

Najib didakwa menyalahgunakan kuasa sebagai perdana menteri dengan mengeluarkan jaminan kerajaan ke atas pinjaman SRC International sebanyak RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan.

Beliau juga berdepan 3 pertuduhan pengubahan wang dan 3 pertuduhan pecah amanah jenayah dalam pemindahan wang berjumlah RM42 juta ke akaunnya daripada bekas anak syarikat 1MDB itu.

Perbicaraan di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung pada 10 Mac.