Muhyiddin umum 26 kementerian, tiada TPM

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan barisan Kabinet beliau di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan pembentukan 26 kementerian termasuk 4 menteri kanan yang akan membantunya menyelaras hal ehwal Kabinet, menggantikan peranan timbalan perdana menteri.

Empat menteri kanan berkenaan – ahli PPBM dan bekas timbalan presiden PKR, Mohamed Azmin Ali; Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob; Naib Yang Dipertua Kanan PBB, Fadillah Yusof; dan Ketua Penerangan PPBM, Mohd Radzi Md Jidin – akan menyelaras bidang ekonomi, keselamatan, pembangunan prasarana, serta pendidikan dan sosial “dengan lebih cekap dan berkesan”.

“Menteri-menteri kanan akan membantu saya menjalankan tugas sebagai perdana menteri termasuklah mempengerusikan mesyuarat Kabinet di waktu ketiadaan saya dalam negara.

“Dengan adanya menteri-menteri kanan ini, maka tiada keperluan pada masa ini untuk seorang timbalan perdana menteri dilantik,” katanya ketika pengumuman Kabinet hari ini.

Turut diumumkan 5 menteri di Jabatan Perdana Menteri, termasuk menteri hal ehwal Sabah dan Sarawak.

Dua orang bukan ahli politik iaitu Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Group Holdings Berhad, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Mufti Wilayah Persekutuan, Zulkifli Mohamad masing-masing diberi portfolio kewangan dan hal ehwal agama.

MCA, PAS kembali

Barisan menteri kali ini menyaksikan seramai 9 ahli Umno, MCA dan MIC 1, PPBM 7, PAS 3, Gabungan Parti Sarawak 4, Parti Bersatu Sabah 1, dan 3 bekas pemimpin PKR yang menyertai PPBM baru-baru ini.

Dari Umno adalah Ismail Sabri Yaakob, Annuar Musa, Noraini Ahmad, Shamsul Anuar Nasarah, Adham Baba, Hishammuddin Hussein, Khairy Jamaluddin, Halimah Mohamed Sadique, dan Reezal Merican Naina Merican.

Dari MCA dan MIC adalah Wee Ka Siong dan Saravanan Murugan.

Dari PPBM adalah Mohd Radzi Md Jidin, Mustapa Mohamed, Mohd Redzuan Md Yusof, Rina Mohd Harun, Hamzah Zainuddin, Ronald Kiandee, dan Abd Latiff Ahmad.

Dari PAS Takiyuddin Hassan, Tuan Ibrahim Tuan Man, dan Mohd Khairuddin Aman Razali.

Dari Gabungan Parti Sarawak adalah, Fadillah Yusof, Alexander Nanta Linggi, Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dan Nancy Shukri.

Tiga bekas ahli PKR adalah Mohamed Azmin Ali, Saifuddin Abdullah, Zuraida Kamaruddin. Manakala seorang dari Parti Bersatu Sabah, Maximus Johnity Ongkili.

Sementara itu, 11 ahli PPBM ditampilkan sebagai timbalan menteri, Umno 6, Gabungan Parti Sarawak 5, PAS 5, MCA 3, PBS dan Star Sabah 1, dan 5 bekas pemimpin PKR.

Dari PPBM adalah Ikhmal Hisham Abdul Aziz, Abd. Rahim Bakeri, Shahruddin Md Salleh, Muslimin Yahaya, Eddin Syazlee Shith, Noor Azmi Ghazali, Ahmad Hamzah, Abdul Rahman Mohamad, Rosol Wahid, Mas Ermieyati Samsudin, dan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Dari Umno adalah Mohd Shahar Abdullah, Mastura Yazid, Dr Ahmad Masrizal Muhammad, Ismail Mohamed Said, Zahidi Zainul Abidin, dan Ismail Abd Mutalib.

Dari MCA adalah Lim Ban Hong, Mah Hang Soon, dan Wee Jeck Seng.

Dari PAS adalah Ahmad Marzuk Shaary, Awang Hashim, Siti Zailah Mohd Yusoff, Che Abdullah Mat Nawi, dan Ahmad Amzad Hashim.

Dari GPS adalah Hanifah Hajar Taib, Hasbi Habibollah, Aaron Ago Dagang, Henry Sum Agong, dan Tiong King Sing.

Dari PBS adalah Joseph Kurup dan dari Parti Solidariti Tanah Airku (Star Sabah) adalah Jeffrey G Kitingan.

Lima bekas pemimpin PKR adalah Santhara Kumar, Dr Mansor Othman, Ali Biju, Jonathan Yassin, dan Kamaruddin Jaffar.

Berikut senarai menteri kanan:

  1. Mohamed Azmin Ali (Perdagangan Antarabangsa & Industri)
  2. Ismail Sabri Yaakob (Pertahanan)
  3. Fadillah Yusof (Kerja Raya)
  4. Mohd Radzi Md Jidin (Pendidikan)

Berikut senarai menteri:

  1. Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz (Kewangan)
  2. Wee Ka Siong (Pengangkutan)
  3. Tuan Ibrahim Tuan Man (Alam Sekitar)
  4. Saravanan Murugan (Sumber Manusia)
  5. Annuar Musa (Wilayah Persekutuan)
  6. Rina Mohd Harun (Wanita & Keluarga)
  7. Noraini Ahmad (Pengajian Tinggi)
  8. Shamsul Anuar Nasarah (Tenaga & Sumber Asli)
  9. Hamzah Zainuddin (Dalam Negeri)
  10. Dr Adham Baba (Kesihatan)
  11. Ronald Kiandee (Pertanian & Industri Makanan)
  12. Abd Latiff Ahmad (Pembangunan Luar Bandar)
  13. Hishammuddin Hussein (Luar Negeri)
  14. Alexander Nanta Linggi (Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna)
  15. Saifuddin Abdullah (Komunikasi & Multimedia)
  16. Zuraida Kamaruddin (Perumahan & Kerajaan Tempatan)
  17. Khairy Jamaluddin (Sains, Teknologi & Inovasi)
  18. Wan Junaidi Tuanku Jaafar (Pembangunan Usahawan & Koperasi)
  19. Mohd Khairuddin Aman Razali (Perusahaan Perladangan & Komoditi)
  20. Nancy Shukri (Pelancongan, Kesenian & Kebudayaan)
  21. Halimah Mohamed Sadique (Perpaduan Negara)
  22. Reezal Merican Naina Merican (Belia & Sukan)

Berikut senarai menteri di Jabatan Perdana Menteri:

  1. Mustapa Mohamed (Ekonomi)
  2. Mohd Redzuan Md Yusof (Tugas-tugas Khas)
  3. Takiyuddin Hassan (Parlimen & Undang-undang)
  4. Zulkifli Mohamad (Hal Ehwal Agama)
  5. Maximus Johnity Ongkili (Hal Ehwal Sabah & Sarawak)