Faizal Azumu umum letak jawatan MB Perak

Ahmad Faizal Azumu.

PETALING JAYA: Ahmad Faizal Azumu mengumumkan peletakan jawatan menteri besar Perak berkuat kuasa hari ini.

Perkembangan ini selepas Faizal menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah di Istana Kinta, pagi tadi.

“Saya terangkan tentang semua perkara berlaku di mana PPBM, Umno dan PAS bersepakat adakan satu gabungan dan kami dapat majoriti 32 ahli Dewan Undangan Negeri untuk menubuhkan kerajaan baru.

“Untuk itu saya terangkan apabila PPBM keluar daripada Pakatan Harapan, maka tergugur kerajaan PH di Perak,” katanya kepada pemberita di depan istana.

Faizal memaklumkan beliau menyampaikan peletakan jawatannya dan semua jawatan exconya berkuat kuasa serta merta kepada Sultan Perak.

Beliau berkata PPBM sepakat menerima apa jua keputusan Sultan Nazrin dalam hal pelantikan menteri besar baru dan barisan exco.

“Nantikan titah selanjutnya dari Sultan Perak. Saya memohon semua rakyat sabar dan bertenang hadapi perkara ini,” katanya, dan menambah PPBM mencalonkannya sebagai menteri besar.