Covid-19: PBB gesa Iran bebaskan semua banduan

Jumlah yang terkorban di Iran meningkat kepada 291 daripada 8,042 orang yang dijangkiti. (Gambar AP)

GENEVA: Tindak balas Iran terhadap wabak Covid-19, termasuk membebaskan sementara 70,000 banduan, terlalu kecil dan terlewat, kata pakar hak asasi PBB pada Selasa.

Javaid Rehman, pelapor khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai hak asasi manusia di Iran, berkata Tehran cuba mengelak bagaimana ia menangani wabak itu.

“Situasi coronavirus sangat mengganggu di Iran,” kata Rehman kepada pemberita di Geneva.

Sejak 2 kes kematian pertama yang dilaporkan di kota suci Qom pada 19 Feb, penyakit itu tersebar secara luas, katanya.

“Ia telah berkembang dengan cepat. Dalam anggaran saya, negara itu melakukan terlalu sedikit usaha, terlalu lewat. ”

Iran pada Selasa melaporkan 54 kematian baru dalam tempoh 24 jam, jumlah tertinggi sejak wabak itu bermula di sana. Itu menjadikan jumlah yang terkorban di negara itu meningkat kepada 291 daripada 8,042 orang yang dijangkiti.

Laporan terbaru menunjukkan Covid-19 telah merebak di dalam penjara Iran.

Agensi berita rasmi badan kehakiman Iran, Mizan Online menyebut Asghar Jahangir, ketua organisasi penjara Iran, berkata “kira-kira 70,000 banduan” dibebaskan dalam usaha memerangi penyebaran wabak itu.

Namun program pembebasan sementara itu adalah tindak balas yang tidak mencukupi, kata Rehman.

“Kami tidak tahu apa syarat-syarat yang dikeluarkan kepada mereka: perjanjian jaminan, untuk berapa lama secara tepat,” katanya.