Haniff Khatri lepas jawatan pengerusi Perda Jumaat ini

Peguam Haniff Khatri Abdulla.

GEORGE TOWN: Peguam Haniff Khatri Abdulla mengumumkan beliau akan melepaskan jawatan sebagai pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda), Jumaat ini, supaya kerajaan baru dapat membuat keputusan siapa yang akan mengetuai agensi itu.

“Memandangkan tradisi, etika dan konvensyen adalah satu sumber undang-undang yang penting dalam masyarakat bertamadun yang mengamalkan demokrasi.

“Maka saya hendaklah menyerahkan semula mandat saya sebagai pengerusi Perda walaupun tempohnya masih wujud, kembali kepada kerajaan baru,” katanya dalam satu video yang disiarkan di saluran YouTube Inspirasiku Mahathir.

Haniff menjelaskan beliau tidak meletakkan jawatan sebaik sahaja kerajaan bertukar tangan kerana beliau tidak mahu melihat Perda “terkapai-kapai tanpa pengerusi” memandangkan belum ada lantikan menteri yang akan mengemudi agensi berkenaan, ketika itu.

Tambahnya, beliau juga akan mengadakan beberapa mesyuarat dengan ahli lembaga Perda minggu ini dan akan menawatkan tugasnya dengan menyerahkan notis rasmi semasa mesyuarat tersebut.

“Saya harap tuan-tuan dan puan-puan dapat faham dan perkara ini bolehlah digunakan sebagai suatu pandangan atau perundangan untuk sesiapa yang mungkin berada dalam keadaan saya iaitu menjawat mana-mana jawatan awam pelantikan persekutuan,” katanya.

Haniff juga memuji Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Azhar Azizan Harun kerana tidak melepaskan jawatannya, kerana lantikannya ditetapkan Yang di-Pertuan Agong, bukannya perdana menteri.

Perda ditubuhkan pada 1 Jun 1983 sebagai agensi untuk membangunkan Pulau Pinang, terutamanya di bahagian tanah besar, untuk manfaat orang Melayu luar bandar, di bawah naungan Jabatan Perdana Menteri.