Kerajaan baru sasar 1 bulan selesai isu minyak sawit dengan India

India melaksanakan sekatan ke atas pembelian minyak sawit dari Malaysia tahun ini selepas Dr Mahathir Mohamad mengkritik dasar baru New Delhi ke atas Kashmir.

KUALA LUMPUR: Malaysia menyasarkan untuk menyelesaikan isu minyak sawit dengan India dalam masa sebulan, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi yang baru, Mohd Khairuddin Aman Razali.

Katanya, beliau mahu menghantar sepasukan delegasi ke India secepat mungkin untuk menambah baik hubungan kedua-dua negara.

India, pengguna minyak makan terbesar di dunia, melaksanakan sekatan ke atas pembelian minyak sawit dari Malaysia tahun ini selepas Perdana Menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad mengkritik dasar baru New Delhi ke atas Kashmir.

Perdana Menteri baru, Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah pada 1 Mac lalu selepas Mahathir melepaskan jawatan itu secara mengejut.