Kerajaan Muhyiddin mampu bertahan, usul tak percaya takkan berjaya, kata Dr M

Dr Mahathir Mohamad menggesa Muhyiddin Yassin meneruskan dasar kerajaan PH.

PETALING JAYA: Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin mampu bertahan sehingga pilihan raya umum akan datang dan Pakatan Harapan tidak mungkin berjaya membawa usul tidak percaya terhadap perdana menteri ke-8 itu di Dewan Rakyat.

“Sekarang ini bila dia (Muhyiddin) jadi kerajaan, dia dapat bagi gula-gula kepada banyak orang. Saya dapati beberapa orang yang menjadi penyokong saya, sekarang ini dilantik menjadi menteri, maka mereka berpindah ke sebelah sana,” katanya dalam wawancara dengan Sinar Harian.

Beliau menyalahkan bekas perdana menteri, Najib Razak sebagai punca kejatuhan kerajaan PH.

“Yang betul-betul berkonspirasi ialah Najib. Apabila dia kalah, maka dia dapat idea kalau dia boleh tubuh satu kerajaan Melayu Islam, maka dia akan dapat lebih sokongan orang Melayu dan dia akan menang.”

Pemimpin PPBM itu turut menafikan beliau di sebalik langkah menyingkirkan DAP daripada kerajaan PH.

“Apa sebab saya perlu melakukan konspirasi kerana saya sudah menjadi perdana menteri.”

Mahathir berharap Muhyiddin akan meneruskan dasar pentadbiran PH yang tumbang akhir bulan lalu selepas Muhyiddin dan beberapa ahli Parlimen membentuk sebuah blok baru dengan Barisan Nasional, PAS dan Gabungan Parti Sarawak.

Antara dasar itu ialah Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang dilancarkan Oktober tahun lalu.

“Itu satu dasar yang baik dan orang yang mencipta dasar itu juga ada dalam Kabinet. Jangan gugurkan.”