KKM jejak 5,000 peserta tabligh untuk jalani ujian Covid-19

Dianggarkan 10,000 tabligh berhimpun di Masjid Seri Petaling, Selangor pada 27 Feb 2020 hingga 1 Mac 2020. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Semua Jabatan Kesihatan negeri sedang menjalankan siasatan lanjut ke atas lebih 5,000 rakyat negara ini yang dipercayai menyertai perhimpunan tabligh susulan kes pertama Covid-19 dikesan di Brunei.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata International Health Regulations (IHR) Focal Point (FP) Brunei memaklumkan IHR FP Malaysia mengenai kes yang disahkan Covid-19 yang dikesan di negara itu.

“Kes tersebut dilaporkan mempunyai sejarah menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling, Selangor pada 27 Feb 2020 hingga 1 Mac 2020.

“Berdasarkan maklumat awal, perhimpunan tabligh ini melibatkan anggaran sejumlah 10,000 orang dari beberapa negara termasuk Malaysia.

“Peserta dari Malaysia adalah dianggarkan melebihi 5,000 orang,” katanya dalam satu kenyataan.

Setakat ini, Brunei melaporkan 5 lagi kes Covid-19 pada Selasa, sehari selepas kes pertama disahkan pada Isnin.

Menurut laporan media, seorang lelaki tempatan berusia 53 tahun disahkan positif penyakit koronavirus itu pada Isnin, selepas dia pulang dari Kuala Lumpur pada 3 Mac lalu.

Pesakit itu mengalami demam pada 7 Mac dan menerima rawatan di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha pada keesokan harinya.

Noor Hisham menambah, pihaknya menyeru semua individu yang menghadiri perhimpunan tabligh itu memberi kerjasama kepada KKM bagi memastikan jangkitan
Covid-19 tidak terus merebak dalam komuniti.

“Sekiranya mengalami gejala diminta untuk menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran atau CPRC negeri.

“Sekiranya tidak mengalami gejala untuk mengamalkan jarak sosial (social distancing) sekurang-kurangnya 1m dari orang lain selama 14 hari dari tarikh akhir menghadiri perhimpunan tersebut,” katanya.