Menteri kesihatan Britain positif Covid-19

Nadine Dorries ialah ahli politik Britain pertama yang dijangkiti Covid-19. (Gambar Twitter)

LONDON: Menteri Kesihatan Britain, Nadine Dorries disahkan positif Covid-19.

“Saya boleh mengesahkan saya diuji positif untuk koronavirus…dan sedang mengasingkan diri di rumah,” kata ahli Parlimen Konservatif itu.

Pegawai kesihatan sedang mengesan dari mana beliau dijangkiti virus itu dan siapa yang pernah bertemu dengannya.

Dorries, yang membantu merangka undang-undang memerangi virus itu, ialah ahli politik Britain pertama dijangkiti Covid-19 dan ini menimbulkan kebimbangan sama ada beliau sudah menyebarkan virus itu kepada orang lain.

The Times melaporkan beliau pernah menemui beratus orang, termasuk Perdana Menteri Boris Johnson.

Beliau tidak sihat mulai Jumaat lalu ketika menandatangani dokumen mengisytiharkan koronavirus ialah penyakit wajib lapor, bermakna syarikat boleh mendapatkan perlindungan insurans, lapor akhbar itu sambil menambah Dorries dipercayai dalam proses pemulihan.

“Saya mahu mengucapkan terima kasih…(kepada) kakitangan NHS hebat yang memberi saya nasihat dan sokongan,” katanya merujuk Perkhidmatan Kesihatan Britain.

Berita mengejutkan ini mungkin menyebabkan lebih banyak gesaan untuk menggantung Parlimen, walaupun kerajaan enggan berbuat demikian ketika dilanda krisis kesihatan.

Enam meninggal dunia akibat Covid-19 di Britain dengan 373 kes positif dilaporkan setakat ini.