NGO bidas Muhyiddin tak prihatin kerana Kabinet tiada wakil Orang Asli

Lima NGO Orang Asli yakin Ramli Mohd Nor dapat membantu Putrajaya menyelesaikan masalah pembangunan sosio ekonomi dan isu berkaitan Orang Asli dengan berkesan kerana beliau lebih dekat serta memahami kehendak masyarakat itu.

PETALING JAYA: Lima badan bukan kerajaan Orang Asli membidas kerajaan baru pimpinan Muhyiddin Yassin tidak prihatin kerana tiada wakil masyarakat itu dalam barisan Kabinet yang diumumkan Isnin lalu.

NGO itu berkata, Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor paling sesuai dari segi pendedahan, pengalaman dan kelulusan akademik kerana beliau ialah satu-satunya suara Orang Asli di Dewan Rakyat yang menang dalam pilihan raya selam 63 tahun negara merdeka.

“Secara logik, jika sejarah memerlukan 63 tahun untuk seorang Orang Asli Semenanjung diangkat menjadi wakil rakyat secara undian, adakah kerajaan Perikatan Nasional memerlukan 63 tahun lagi untuk melantik seorang ahli Kabinet berketurunan Orang Asli Semenanjung?” katanya dalam kenyataan hari ini.

NGO itu ialah Persatuan Orang Asli Perak, Persatuan Orang Asli Kelantan, Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Orang Asli Perak, Persatuan Orang Asli Batang Padang dan Kelab Bola Sepak Bersatu (Orang Asli).

Mereka yakin Ramli jika dilantik ke Kabinet, beliau dapat membantu kerajaan baru menyelesaikan masalah pembangunan sosio ekonomi dan isu berkaitan Orang Asli dengan berkesan kerana beliau lebih dekat serta memahami kehendak masyarakat itu.

“Kami memohon kerajaan mengambil kira sentimen masyarakat Orang Asli di seluruh negara.

“Kerajaan perlu menitikberatkan soal kebajikan Orang Asli Semenanjung. Ini wajib menjadi salah satu wadah kerajaan seperti dinyatakan dalam Perkara 8(5)(c) Perlembagaan Persekutuan.”

Perkara 8 Perlembagaan menyatakan hak sama rata untuk Orang Asli diberikan jawatan sesuai dalam perkhidmatan awam mengikut kadar berpatutan.