Pakar saran kerajaan baru laksana semula GST

Kenaikan harga barang bukan dikawal oleh cukai, tetapi dikawal oleh penjual.

PETALING JAYA: Seorang pakar ekonomi berkata kerajaan baru wajar menimbangkan semula pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Razak bagaimanapun berkata kerajaan pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tidak perlu melaksanakan cukai itu dengan segera kerana ia memerlukan peruntukan yang banyak.

“Ia boleh dilaksanakan dalam jangka pertengahan, maknanya selepas setahun kerajaaan baru memerintah. Pelaksanaan GST perlu ditimbang semula kerana ia sudah dibuktikan sebagai cukai yang cekap dan dapat memaksa semua peniaga mempunyai rekod yang lengkap.

Barjoyai Bardai

“Tapi dalam jangka pendek, pelaksanaan semula GST jangan ditonjolkan sangat, kerana isu kita bukan GST. Kalau kita perkenalkan balik GST, ia akan melibatkan banyak kos dan hasilnya tidak sebegitu,” katanya kepada FMT.

Barjoyai turut memaklumkan jika GST dilaksanakan semula, kaedahnya perlu diubah dengan menurunkannya kepada 3%.

“Kerajaan perlu turunkan kepada 3% jika ia dilaksanakan semula dan kemudian kerajaan sasarkan supaya ia akan meningkat dan ‘offset’ (mengimbangi) dengan cukai pendapatan, maksudnya dalam jangka panjang kita naikkan kadarnya tapi kita kurangkan kadar cukai pendapatan kerana GST ini rakyat tidak boleh mengelak, sedangkan cukai pendapatan banyak yang dielak oleh golongan berpendapatan tinggi,” katanya.

Beliau berkata kerajaan juga perlu mengubah persepsi rakyat, kononnya kutipan cukai ini akan menurunkan harga barangan kerana jika gagal ditangani ia akan mendatangkan kesan buruk khususnya melibatkan kepercayaan rakyat.

“Sebenarnya kerajaan perlu menerangkan kepada rakyat bahawa apa pun cukai, baik cukai jualan dan perkhidmatan (SST) atau GST, harga barang tetap akan naik kerana kenaikan harga barang bukan dikawal oleh cukai, tetapi dikawal oleh penjual.

“Jadi keupayaan untuk mengawal penjual, adalah satu isu dan ini merupakan tugas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDKHEP) dan bukan senang nak kawal penjual kerana di Malaysia ini kita mengamalkan ekonomi bebas,” katanya.

GST diperkenal kerajaan Barisan Nasional pada kadar 6% mulai 1 April 2015 dan kira-kira RM44 bilion dikutip daripada sistem percukaian itu.

Cukai tersebut bagaimanapun dihapuskan pada September 2018 oleh kerajaan Pakatan Harapan.