PAS Kedah setuju Mukhriz terus jadi MB selagi ada majoriti

Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sebarang pertukaran kepimpinan termasuk jawatan menteri besar Kedah tidak akan berlaku secara gopoh bagi menghormati amalan demokrasi di negara ini. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: PAS Kedah bersetuju Mukhriz Mahathir terus menerajui negeri itu sebagai menteri besar selagi beliau mempunyai sokongan majoriti Adun.

Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pendirian itu disampaikan kepada Mukhriz dalam pertemuan baru-baru ini.

“Saya pergi jumpa dalam keadaan aman dan tidak berlaku riuh-rendah, rakyat tidak boleh dihidang dengan kerenah politik yang terlalu banyak, saya maklum kepada beliau macam itu.

“Selagi beliau (Mukhriz) ada sokongan majoriti, beliau memerintahlah Kedah. Kita tidak memberi apa-apa tekanan atau syarat kepada beliau, hanya kita sebut kalau beliau ada sokongan majoriti teruskanlah memerintah Kedah dan Muhkriz kata terima kasih,” kata Adun Jeneri itu kepada FMT.

Ketua pembangkang Dewan Undangan Negeri Kedah itu berkata, sebarang pertukaran kepimpinan termasuk jawatan menteri besar tidak akan berlaku secara gopoh bagi menghormati amalan demokrasi di negara ini.

Katanya, parti Islam itu akan mengambil sikap tunggu dan lihat dengan tidak memberi tekanan kepada mana-mana pihak.

Beliau berkata, parti itu hanya bersedia jika berlaku sebarang perubahan membabitkan pentadbiran Pakatan Harapan Kedah memandangkan pendekatan gabungan itu di peringkat negeri dan Pusat berbeza.

“Kita tidak mahu terlalu gopoh, terlalu nampak menggoncang politik Kedah ini. Ia tidak baik untuk rakyat, kita nak transisi jika ada, ia berlaku dengan aman.

“Sebab kerajaan PH ini sudah tidak dapat dipertahankan, lambat laun ia akan berlaku perubahan dalam kerajaan Kedah ada macam-macam kem, di peringkat pusat lain.

“Kita PAS juga tidak kejar mana-mana pihak untuk sokongan sesiapa. Apapun kita tunggu proses (transisi) itu berlaku, saya yakin ia akan berlaku dalam seminggu dua ini.”

Sanusi menafikan dakwaan pendirian PAS Kedah dan Pusat berbeza.

“Kita PAS Kedah dan Pusat tidak ada beza pendapat, keputusan kita selari dengan Pusat,” katanya sambil menambah keputusan PAS Kedah direstui Pusat.

Terdahulu, bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad dipetik Sinar Harian mengakui nasib anaknya, Mukhriz ibarat telur di hujung tanduk susulan pembentukan gabungan baru selepas kerajaan PH tumbang.

Katanya, 15 Adun PAS boleh bertindak mengikut PAS Pusat yang menyokong pembentukan Perikatan Nasional.

“Banyak bergantung kepada ahli PAS. Kalau mereka tarik diri (ikut keputusan Pusat), jatuhlah kerajaan dia. Waktu ini mereka tidak tarik diri walaupun bercanggah dengan pendirian PAS Pusat.

“Mereka masih mengekalkan sokongan kepada Mukhriz dan dia masih menteri besar. Tetapi situasi Mukhriz diibaratkan seperti telur di hujung tanduk. Kalau goncang sedikit, jatuhlah,” kata pemimpin PPBM itu.

Kedah mempunyai 36 kerusi DUN dengan PAS memiliki 15 kerusi, diikuti PKR (8), PPBM (6), Umno (2), Amanah (3) dan DAP (2).