Pelancong dari 4 negara dilarang masuki Sarawak

Pelawat dari negara atau wilayah terjejas Covid-19 harus mematuhi garis panduan Jabatan Kesihatan Sarawak di semua pintu masuk.

KUCHING: Semua warga asing tanpa mengira kewarganegaraan, yang pernah ke China, Korea Selatan, Itali dan Iran dalam tempoh 14 hari lalu, dilarang memasuki Sarawak berkuat kuasa serta-merta, menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Amar Douglas Unggah Embas.

Mengumumkan sekatan perjalanan terbaru yang dikenakan kerajaan negeri untuk membendung penyebaran Covid-19, beliau berkata semua rakyat Malaysia yang bukan pemastautin Sarawak yang pernah mengunjungi 4 negara berkenaan dalam tempoh 14 hari juga dinasihatkan agar tidak melawat negeri itu.

“Semua penduduk Sarawak dan PR (pemastautin tetap), pemegang pas kerja dan pelajar yang pernah mengunjungi Tanah Besar China, Korea Selatan, Itali dan Iran dalam tempoh 14 hari lepas, mesti menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari. Mereka akan menjalani pemantauan secara rawak oleh pihak berkuasa perubatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Uggah yang juga timbalan ketua menteri berkata semua pelawat dari negara atau wilayah yang terjejas Covid-19 harus mematuhi garis panduan yang dikeluarkan Jabatan Kesihatan Sarawak di semua pintu masuk.

Negara atau wilayah berkenaan adalah Perancis, Sepanyol, Jerman, Amerika Syarikat, Jepun, Singapura, Indonesia, Brunei dan Semenanjung Malaysia.