Pembelaan selesaikan kes Najib berkait SRC International

Peguam Muhammad Shafee Abdullah.

KUALA LUMPUR: Pembelaan Najib Razak dalam perbicaraan SRC International beliau selama 33 hari akan selesai hari ini.

Peguam Muhammad Shafee Abdullah memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang pihak pembelaan akan menutup kes mereka hari ini selepas memanggil 3 saksi untuk memberi keterangan.

Mereka ialah Dzulkifli Ahmad, Kamaruddin M Ripin dan Regjit Singh.

Pendengaran untuk perbicaraan pembelaan itu bermula 3 Dis tahun lalu. Seramai 19 saksi sudah memberi keterangan, termasuk bekas peguam negara, Mohamed Apandi Ali, Dzulkifli dan bekas menteri Anifah Aman serta Jamil Khir Baharom.

Nazlan menetapkan 12, 13, 15 dan 18 Mei ini untuk mendengar penghujahan lisan daripada pihak pembelaan serta pendakwaan.

“Pihak pembelaan perlu memfailkan penghujahan bertulis mereka menjelang 21 April dan pendakwaan memfaikan jawapan mereka menjelang 5 Mei.”

Selain, Shafee, Najib diwakili peguam Harvinderjit Singh dan Farhan Read.

Pendakwa raya ad hoc V Sithambaram mengetuai pasukan pendakwaan bersama Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Ashrof Adrin Kamarul, Muhammad Izzat Fauzan dan Donald Joseph Franklin.

Najib didakwa menyalahgunakan kuasanya sebagai perdana menteri dengan memberi jaminan kerajaan ke atas pinjaman SRC International sebanyak RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan.

Beliau turut berdepan 3 pertuduhan pengubahan wang dan 3 pertuduhan pecah amanah dalam pemindahan RM42 juta dana SRC International ke akaun peribadinya.