Pemimpin Amanah jumpa Dr M selepas tak hadir majlis pimpinan PH

Kumpulan pemimpin Amanah mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya pada Selasa. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Pemimpin tertinggi Amanah hari ini mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir Mohamad, selepas bekas perdana menteri itu dilihat tidak hadir ke majlis pertemuan pimpinan Pakatan Harapan di Pusat Konvensyen Sime Darby Bukit Kiara.

Naib Presiden Amanah Mahfuz Omar berkata, pertemuan yang diadakan selama sejam itu bertujuan untuk “menyelamatkan Malaysia” dari penguasaan Barisan Nasional khususnya Umno di Putrajaya.

“Selama 1 jam kami berbincang dari hati ke hati. Akhirnya capai kata sepakat untuk semua kembali bersama antara Pakatan Harapan dan kumpulan Mahathir untuk sekali lagi menyelamatkan Malaysia.

“Dari penguasaan parti Umno-BN yang menguasa kerajaan gabungan pengkhianat dan kleptokrat,” katanya dalam satu kenyataan ringkas disiarkan di Facebooknya, hari ini.

Pada majlis Pertahan Mandat Rakyat yang diadakan sebelum ini, Mahathir dikatakan akan menjadi penceramah utama namun membatalkan kehadirannya pada saat akhir, tanpa memberi sebarang penjelasan.

Pertemuan melibatkan Mahathir dan Setiausaha Agung PPBM Marzuki Yahya turut dihadiri Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub diadakan di Yayasan Kepimpinan Perdana.

PPBM ketika ini sedang menghadapi krisis dalaman selepas Mahathir sebelum ini mendakwa Muhyiddin Yassin mengkhianatinya dengan bertindak bekerjasama menubuhkan Perikatan Nasional bersama Umno, PAS dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).