Penganalisis pertikai tiada wakil SUPP dalam Kabinet

Ahli Parlimen Serian, Richard Riot ialah satu-satunya wakil SUPP di Dewan Rakyat. (Gambar Bernama)

KUCHING: Seorang penganalisis politik mempersoalkan ketiadaan satu-satunya wakil Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) di Dewan Rakyat, iaitu Ahli Parlimen Serian, Richard Riot dalam barisan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin pada Isnin lalu.

Dick Lembang Dugun daripada Universiti Malaysia Sarawak berkata, SUPP ialah parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang membentuk kerajaan persekutuan dengan PPBM, Barisan Nasional (BN) dan PAS.

Beliau meramalkan pengecualian Riot mungkin disebabkan dakwaan yang timbalan presiden SUPP itu akan menyertai PKR, walaupun beliau bertegas akan kekal dengan parti itu.

“Isu ini mungkin menyebabkan kurang kepercayaan (terhadapnya) dalam kalangan pemimpin GPS,” katanya merujuk dakwaan penyalahgunaan kuasa terhadap Riot ketika menjadi menteri sumber manusia di bawah pentadbiran BN.

Beliau berkata, Muhyiddin pernah berkata hanya akan melantik anggota Kabinet yang mempunyai integriti dan rekod prestasi bersih.

Katanya, GPS perlu adil kepada parti komponennya dan SUPP sebaliknya boleh diberikan peluang untuk mencalonkan seorang ahlinya sebagai senator untuk mewakili parti itu di peringkat persekutuan.

Awang Azman Pawi daripada Universiti Malaya juga tahu mengenai khabar angin mendakwa Riot sudah menyertai PKR dan berkata, mungkin ada kebimbangan beliau akan melompat ke parti komponen PH selepas diberikan jawatan dalam Kabinet.

“Dalam kalangan pemimpin GPS ada yang kurang percaya kepada Riot kerana rekod prestasinya,” katanya sambil menambah Riot pernah bersama beberapa parti sebelum menyertai SUPP.

Jayum Jawan daripada Universiti Putra Malaysia bagaimanapun berkata, SUPP bukan satu-satunya pihak tanpa perwakilan di Kabinet persekutuan.

Menyedari 4 menteri di Sarawak berasal daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), katanya, SUPP, Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokrat Rakyat (PDP) dianggap lemah serta tiada kedudukan untuk membuat tuntutan.

“Malah, ia baik untuk sesetengah daripada mereka diberikan jawatan timbalan menteri.”

Tiong King Sing daripada PDP ialah timbalan menteri untuk perpaduan negara, manakala Aaron Ago Dagang daripada PRS ialah timbalan menteri kesihatan.

Pemimpin GPS lain di Kabinet persekutuan ialah Menteri Kerja Raya, Fadillah Yusof; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Nancy Shukri; Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Alexander Nanta Linggi; Timbalan Menteri Pengangkutan, Hasbi Habibollah; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah/Sarawak) Hanifah Hajar Taib dan Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar II, Henry Sum Agong.