PPBM Sabah gesa Putrajaya wujud semula jabatan pembangunan persekutuan


Ketua PPBM Sabah Hajiji Noor (duduk, tengah) bercakap dengan pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat parti di Kota Kinabalu, hari ini.

KOTA KINABALU: PPBM Sabah mencadangkan kerajaan baru mewujudkan semula Jabatan Pembangunan Persekutuan Sabah (JPPS) untuk memastikan rakyat terus mendapat manfaat daripada pembiayaan dan projek persekutuan.

Ketuanya, Hajiji Noor, berkata JPPS diperlukan memandangkan Sabah kini adalah “negeri pembangkang” kerana ia dipimpin oleh Warisan.

Katanya, JPPS adalah platform untuk kerajaan persekutuan memastikan semua program dan dasar berkaitan persekutuan dapat dilaksanakan dengan lancar di Sabah.

“PPBM Sabah mencadangkan kepada kerajaan persekutuan segera mewujudkan JPPS bagi menjayakan segala program dan projek pembangunan yang disalurkan kepada Sabah.

“JPPS berfungsi sebagai wakil kerajaan persekutuan, perantara dan penghubung antara persekutuan dan negeri, seperti yang diwujudkan di Kelantan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat parti itu, hari ini.

Ketua Menteri Shafie Apdal sebelum ini berkata kerajaan negeri akan terus menyokong bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad tetapi pada masa yang sama akan mengekalkan hubungan kerajaan ke kerajaan dengan pentadbiran baru Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

“JPPS ini sangat penting kerana ia adalah instrumen kerajaan persekutuan dalam menyelia, memantau dan menyelaraskan pengagihan peruntukan pembangunan di peringkat negeri,” kata bekas ketua Umno Sabah itu.

Beliau berkata mereka juga meminta kerajaan pusat mewujudkan kembali Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Persekutuan di Sabah untuk memantau pelaksanaan projek di peringkat akar umbi.

“Banyak projek yang dirancang oleh kerajaan negeri sebenarnya melibatkan kerajaan persekutuan. Sekarang mereka (kerajaan negeri) adalah kerajaan pembangkang, struktur untuk melaksanakan projek-projek ini juga harus berubah.”

Beliau berkata Sabah pada masa ini mempunyai Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk melantik pengerusinya.

Ditanya apakah pandangannya mengenai Shafie yang menggesa rakyat Sabah menghentikan budaya beralih kesetiaan, katanya, Ahli Parlimen Semporna itu hanya bimbang kerajaannya akan tumbang.

“Itulah pendapatnya kerana jika orang melompat (kapal), dia dan kerajaannya akan jatuh. Kami tidak tahu siapa yang akan melompat tetapi ada khabar angin; Itulah yang kami dengar,” katanya.

Sebelum ini, ketika ditanya sama ada beliau bimbang wakil rakyatnya dipujuk parti lain, Shafie berkata sudah tiba masanya rakyat Sabah mengenepikan cara politik lama.