PRN Sarawak mungkin tahun ini, kata TKM James Masing

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, James Masing.

KUCHING: Timbalan Ketua Menteri James Masing berkata pilihan raya negeri mungkin akan diadakan tahun ini.

“Tekaan saya pilihan raya akan diadakan tahun ini,” kata Masing ketika ditemui selepas menyerahkan dana untuk projek kecil di pedalaman di kawasan Baleh di pejabatnya hari ini.

Pada pandangannya, tahun ini mungkin masanya untuk mengadakan pilihan raya kerana parti-parti masih berpecah-belah.

Beliau menjangkakan pertarungan yang sengit antara Gabungan Parti Sarawak dan parti-parti pembangkang sekiranya mereka menunggu lagi.

“Apabila mereka bersatu, pertarungan akan jadi sengit. Pada ketika ini, mereka belum bersatu,” katanya.

Bagaimanapun, Masing berharap parti komponen Parikatan Nasional tidak menyertai pilihan raya negeri akan datang.

“Saya harap PAS dan PPBM tidak bertanding pilihan raya negeri memandangkan kita dalam ‘rumah panjang’ yang sama. Kita jangan gaduh sesama kita,” katanya, dan menambah GPS mungkin akan lawan PKR dan DAP pada pilihan raya negeri nanti.

Bulan lepas, Menteri Muda Abdul Rahman Junaidi yakin pilihan raya negeri akan diadakan sebelum sambutan Aidilfitri dan Gawai pada hujung Mei dan awal Jun.