Rosmah tanya tentang bayaran pendahuluan kepada Jepak, kata bekas KSU

Rosmah Mansor.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi dalam perbicaraan rasuah Rosmah Mansor hari ini diberitahu beliau pernah meminta ketua setiausaha Kementerian Pendidikan ketika itu tentang bayaran pendahuluan kepada Jepak Holdings Sdn Bhd, syarikat yang dianugerahkan projek solar hibrid RM1.25 bilion di Sarawak.

Alias Ahmad, yang menggalas jawatan itu dari Sept 2016 hingga Mei 2018, berkata Rosmah tanya kepadanya tentang perkara itu selepas mereka menghadiri satu mesyuarat Permata.

Saksi pendakwaan ke-12 itu berkata beliau bertemu Rosmah, pengasas pertubuhan itu, kerana beliau ahli lembaga pemegang amanah Yayasan Permata.

“Saya tak tahu tarikh sebenar mesyuarat itu, tetapi saya pasti peristiwa itu berlaku apabila isu bayaran pendahuluan ditimbulkan, dan sebelum kontrak dengan Jepak ditandatangani,” katanya dalam kenyataan saksi.

Alias berkata Rosmah tanya kepadanya bila bayaran boleh dibuat kerana syarikat itu “tidak boleh bergerak” sehingga wang dilepaskan.

“Saya beritahu beliau ada beberapa isu berkaitan insurans yang disampaikan oleh Jepak yang tidak diluluskan Kementerian Kewangan.

“Tanpa kebenaran kementerian, bayaran tidak boleh dibuat kerana ia akan melanggar proses pemerolehan kerajaan,” tambahnya.

Beliau juga berkata Rosmah meminta beliau percepat penandatanganan kontrak itu supaya bayaran kemajuan boleh dibuat kepada Jepak.

“Saya beritahu beliau Jepak tidak dapat sediakan draf kontrak untuk pemeriksaan Kementerian Pendidikan,” katanya.

Beliau mengambil berat pertanyaan Rosmah kerana ia diajukan isteri perdana menteri.

“Jadi saya arah pegawai kementerian cari cara selesaikan masalah Jepak berkaitan bayaran pendahuluan dan kemajuan, dan dalam menyeidakan dokumen kontrak.”

Kontrak ditandatangani pada 20 Jun 2017.

Alias berkata pembantu Rosmah, Rizal Mansor, juga menhubungi beliau untuk bertanya tentang projek itu.

“Saya jelaskan kepadanya kerana saya percaya dia menghubungi saya bagi pihak Rosmah,” katanya.

Rosmah didakwa meminta suapan RM187.5 juta daripada pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin sebagai dorongan kerana membantu syarikat itu mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic Hibrid dan Operasi Janakuasa Diesel untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai lebih RM1.25 bilion melalui rundingan terus dengan Kementerian Pendidikan.

Beliau juga didakwa menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi dari 2016 hingga 2017.

Perbicaraan di depan Hakim Mohamed Zaini Mazlan diteruskan.