Seorang peserta tabligh disahkan positif Covid-19

Peserta tabligh yang disahkan Covid-19 dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan pada 9 Mac 2020.

PETALING JAYA: Seorang lelaki warga tempatan berusia 60 tahun dan mempunyai sejarah menghadiri perjumpaan ijtimak tabligh di Masjid Seri Petaling pada 28 Feb hingga 1 Mac lalu disahkan positif Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, lelaki yang diklasifikasi sebagai kes ke-131 itu mula mengalami gejala demam, batuk dan selsema pada 4 Mac, sebelum mengalami sesak nafas pada 8 Mac dan dimasukkan ke Hospital Bentong pada hari sama.

“Beliau kemudiannya dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan pada 9 Mac 2020.

“Ujian pengesanan Covid-19 yang diambil bagi kes ini disahkan positif pada 10 Mac 2020. Beliau sudah diasingkan dalam ward isolasi dan sedang menerima rawatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Noor Hisham memberitahu semua Jabatan Kesihatan negeri sedang menjalankan siasatan lanjut ke atas lebih 5,000 rakyat negara ini yang dipercayai menyertai perhimpunan tabligh susulan kes pertama Covid-19 dikesan di Brunei.

Ia selepas International Health Regulations (IHR) Focal Point (FP) Brunei memaklumkan IHR FP Malaysia mengenai kes yang disahkan Covid-19 yang dikesan di negara itu. Setakat ini, Brunei melaporkan 5 lagi kes Covid-19 pada Selasa, sehari selepas kes pertama disahkan pada Isnin.

Noor Hisham menambah, pihaknya menyeru semua individu yang menghadiri perhimpunan tabligh itu memberi kerjasama kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan jangkitan Covid-19 tidak terus merebak dalam komuniti.

KKM turut mengesahkan 20 kes baru Covid-19 dan seorang iaitu kes ke-78 pulih sepenuhnya daripada virus itu. Menurutnya, dengan pertambahan kes terbaru itu, ia menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di Malaysia adalah 149 kes.