SKMM aktif pelan kesinambungan selepas 1 kakitangan positif Covid-19

SKMM sebelum ini mengarahkan mangsa menjalani kuarantin 14 hari di rumah sejak 4 Mac, apabila mendapati suaminya mempunyai kontak dengan pesakit Covid-19.

PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia mengaktifkan pelan kesinambungan perniagaan selepas seorang kakitangan didapati positif Covid-19, bagi memastikan kelangsungan perkhidmatan dan membendung penularan virus.

Antara langkah diambil adalah membenarkan kakitangan bekerja dari rumah, di samping menyediakan pejabat alternatif di luar Lembah Kelang jika diperlukan kelak.

Pasukan pengurusan risiko mengaktifkan pelan itu selepas SKMM dimaklumkan oleh pihak kesihatan kerajaan pada 10 Mac lepas.

“Aspek perancangan sumber manusia diberi perhatian khusus terutama berkaitan fungsi kerja kritikal dan peneraju setiap bidang perkhidmatan penting,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengenai kakitangan tersebut, SKMM memaklumkan mangsa sedang menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh dan berada dalam keadaan stabil.

Sebagai langkah proaktif, SKMM sebelum ini mengarahkan mangsa menjalani kuarantin 14 hari di rumah sejak 4 Mac, apabila mendapati suaminya mempunyai kontak dengan pesakit Covid-19.

“Pengesanan kontak terperinci juga dilaksanakan untuk mengenal pasti dan memaklumkan kepada individu yang mempunyai kontak secara langsung dengan kakitangan terbabit, agar mereka menjalani prosedur kuarantin dan saringan kesihatan pada hari ini,” katanya.

SKMM juga melaksanakan langkah segera antaranya penyediaan cecair pembasmi kuman di semua tingkat bangunan dan kawasan umum sejak 30 Jan, pemeriksaan wajib suhu badan di pintu masuk utama sejak 28 Feb, kerja sanitasi dan pembersihan di ibu pejabat pada 5 dan 6 Mac, dan penerusan prosedur sanitasi dan pembersihan di semua pejabat negeri sejak 9 Mac.

“Pihak pengurusan SKMM telah dan sedang berusaha memastikan tahap kesihatan dan persekitaran kondusif yang maksimum di semua premis,” katanya.