Sultan Selangor panggil Adun PPBM menghadap selepas gugur dari exco

Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi nasihat kepada Abdul Rashid Asari dalam pertemuan pada Isnin, selepas pemimpin PPBM itu digugurkan daripada barisan exco.

PETALING JAYA: Sultan Selangor memanggil Adun Selat Kelang, Abdul Rashid Asari menghadap selepas wakil rakyat PPBM itu digugurkan dari barisan exco, selepas parti itu keluar Pakatan Harapan.

Rashid menghadap Sultan Sharafuddin Idris Shah selama hampir 2 jam di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam pada Isnin.

Pengerusi PPBM Selangor itu memberitahu FMT, Sultan Sharafuddin dalam pertemuan itu menyampaikan rasa simpati kerana exco kebudayaan dan pelancongan, peradaban Melayu dan warisan kerajaannya terpaksa meletakkan jawatan.

“Sultan Sharafuddin menasihatkan saya bekerja seperti biasa dan menjadi pembangkang berhemah, yang benar-benar laksanakan kerja. Pada masa sama, meminta saya tidak putuskan hubungan dengan kerajaan demi kepentingan Melayu dan Islam,” katanya.

Mengambil kira keadaan politik di peringkat persekutuan, kerajaan Selangor yang ditadbir Pakatan Harapan mengumumkan penyingkiran PPBM daripada pentadbiran negeri berkuat kuasa serta-merta.

Rashid, bersama 4 wakil rakyat partinya, iaitu Harumaini Omar (Batang Kali), Mohd Shaid Rosli (Jeram), Sallehudin Amiruddin (Kuang), dan Adhif Syan Abdullah (Dengkil) diisytiharkan pembangkang di Dewan Undangan Negeri, dan peruntukan berkaitan dibekukan.

Sementara itu, semua ahli parti itu terkeluar daripada pihak berkuasa tempatan, majlis permuafakatan ketua kampung, anak-anak syarikat kerajaan negeri serta seluruh rangkaiannya.

Parti pemerintah di Selangor kini terdiri daripada 19 wakil rakyat PKR, 16 DAP, dan 8 Amanah.

Pembangkang pula terdiri daripada 5 PPBM, 5 Umno, 1 PAS, dan 2 bebas.