Tawaran tanah Kampung Baru belum muktamad, kata Annuar Musa

Keputusan tentang tawaran tanah Kampung Baru akan dibuat selepas menteri baru dengar penjelasan pegawainya.

PUTRAJAYA: Menteri Wilayah Persekutuan yang baru, Annuar Musa berkata belum ada keputusan muktamad mengenai tawaran pembelian tanah yang terlibat dalam pembangunan semula Kampung Baru.

Bercakap kepada pemberita di kementeriannya hari ini, Annuar perlukan sedikit masa lagi sebelum membuat sebarang keputusan mengenainya.

“Ia mungkin tak sukar untuk saya faham tapi bagi saya masa… saya kena dengar dulu penjelasan pegawai, kemudian saya akan buat keputusan,” katanya.

Terdahulu, kementerian sama bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) menawarkan RM1,000 satu kaki persegi, di mana RM850 secara pulangan tunai, manakala RM150 berbentuk pegangan saham dalam suatu syarikat tujuan khas yang bakal ditubuhkan.

Mengulas lanjut, Annuar menjelaskan pengumuman tersebut tidak akan mengambil masa yang lama kerana latar belakang beliau sebagai perancang bandar.

Terdahulu, beliau hadir ke bangunan kementerian itu buat pertama kali selepas dilantik Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.