Zuraida guna peluang kedua di KPKT untuk laksana dasar

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin disambut meriah oleh warga kementerian itu, hari ini.

PUTRAJAYA: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin akan menggunakan peluang keduanya menerajui kementerian itu untuk memberi tumpuan kepada pelaksanaan beberapa dasar utama.

Satu-satunya menteri kerajaan Pakatan Harapan yang masih mengekalkan jawatannya dalam pentadbiran Perikatan Nasional, Zuraida disambut meriah oleh pegawai kementerian itu ketika beliau memulakan tugas tengah hari tadi.

“Kali ini, tumpuan akan diberikan kepada Dasar Kebersihan Negara yang dilancarkan tahun lalu, pembangunan menukar sampah menjadi tenaga (WTE) dan taman sisa,” katanya ketika ditanya mengenai keutamaannya.

“Saya menimba banyak pengalaman selama 22 bulan sebagai menteri. Saya bersyukur saya diberi peluang untuk terus mengetuai kementerian ini,” katanya.

Dasar Kebersihan Negara dilancarkan pada November lalu untuk memastikan pelupusan semua jenis sampah dengan betul – dengan penekanan pada program kitar semula yang membolehkan masyarakat menukar sampah menjadi sumber pendapatan tambahan.

Zuraida Kamaruddin mendaftar masuk untuk bertugas di KPKT, hari ini.

April lalu, Zuraida berkata kementeriannya merancang untuk membina loji WTE – di mana sampah dibakar untuk menghasilkan elektrik – di setiap negeri pada 2020. Bagaimanapun, loji pertama di Ladang Tanah Merah di Negeri Sembilan mengalami kelewatan beberapa kali di mana pemaju menyalahkan formasi geologi di tapak itu.

Antara dasar-dasar penting ahli Parlimen itu adalah Dasar Perumahan Negara dan Dasar Komuniti Negara.

Dasar Perumahan Negara bertujuan untuk memastikan semua rakyat khususnya kumpulan berpendapatan rendah B40, mempunyai akses kepada rumah mampu milik.

Skim sewa untuk memiliki (RTO) yang ditubuhkan untuk membantu pembeli berpotensi bagi projek perumahan rakyat (PPR) yang tidak layak mendapat pinjaman daripada institusi kewangan, merupakan satu lagi inisiatif untuk meningkatkan pemilikan rumah yang diumumkan ketika Zuraida memegang kementerian itu sebelum ini.

Sementara itu, Dasar Komuniti Negara bertujuan menggalakkan masyarakat aktif dalam pengurusan dan penyelenggaraan harta awam di kawasan kediaman mereka.

“Kami mempunyai pasukan yang berkesan. Banyak dasar yang saya bantu rumuskan kini dalam peringkat pelaksanaan,” katanya.

“Kami mempunyai banyak dasar yang baik. InsyaAllah, rakyat akan dapat melihat apa yang telah kita kerjakan selama 22 bulan yang lalu.”