Anwar masih aset PH, tetapi DAP ‘mesti dikawal’, kata penganalisis

Presiden PKR Anwar Ibrahim dicalonkan sebagai perdana menteri PH sebelum gabungan politik itu hilang kuasa bulan lepas.

PETALING JAYA: Dua ahli akademik tidak bersedia menyifatkan Anwar Ibrahim sebagai pemimpin politik yang gagal selepas partinya hilang kuasa kerajaan persekutuan dengan berkata, beliau paling berkemapuan memastikan kelangsungan Pakatan Harapan (PH).

Azmi Hassan dan Awang Azman Pawi memberitahu FMT bahawa mereka tidak melihat orang lain, termasuk Dr Mahathir Mohamad, lebih berkemampuan daripada Anwar untuk memimpin PH yang kini menjadi pembangkang semula.

Bagaimanapun Azmi berkata, presiden PKR itu perlu membuktikan kemampuannya mengawal DAP sebagai anggota gabungan PH.

“Anwar perlu menunjukkan bahawa PKR di bawah kepimpinannya masih merupakan parti yang berwibawa, dan untuk itu beliau mesti membuktikan kebolehan untuk mengawal DAP,” kata pensyarah UTM itu kepada FMT.

“Liabiliti yang dihadapinya kini ialah nyawa politik beliau bergantung kepada DAP. Ini kelemahan utamanya di mata orang Melayu. Beliau perlu mengatasi masalah ini dengan membuktikan sebaliknya.”

Azmi menyifatkan Anwar sebagai “penyelamat tunggal” yang boleh diharapkan oleh PH bagi memastikan gabungan politik itu tidak berkubur.

“Pengaruh Mahathir dalam PH perlu dikurangkan,” katanya.

“Bagi saya, hanya kehadiran Anwar dalam PH boleh memungkinkan perkara itu berlaku.”

Awang Azman dari Universiti Malaya berkata, adalah tidak adil Anwar dipersalahkan atas kehilangan kuasa PH kerana beliau tidak memegang apa-apa jawatan dalam Kabinet Mahathir.

Katanya, Mahathir lebih patut disalahkan kerana beliau melengahkan penyerahan kuasa kepada Anwar, justeru membuka ruang kepada “pihak dalaman dan luaran” untuk mengambil kesempatan ke atas keadaan itu.

“Anwar masih mempunyai pengikut dan merupakan idola kepada pelbagai kumpulan umur,” katanya.

“Tanpa Anwar, PKR tidak mungkin ditubuhkan dan gerakan Reformasi tidak akan berlaku.”

Bagaimanapun James Chin dari Institut Asia Universiti Tasmania berkata, beliau percaya banyak pihak menyalahkan Anwar atas kejatuhan PH, terutamanya golongan kelas menengah, yang merupakan kumpulan demografi utama yang menyokong gabungan tersebut.

Chin berkata, ini merupakan peluang terakhir Anwar untuk menjadi perdana menteri kerana peluang itu akan terhapus sama sekali jika PH kalah dalam pilihan raya umum akan datang.

“Tetapi masalah lebih besar ialah bagaimana untuk bertahan sebagai pembangkang sewaktu Perikatan Nasional ‘mengumpan’ ahli Parlimen PH supaya menyeberang,” katanya.

“Justeru kepimpinan sangat penting.

“Dalam jangka pendek, bahaya paling besar bukan siapakah pemimpinnya, tetapi sama ada Mahathir akan menyeberang. Kedudukan beliau tidak jelas. Beliau mungkin dan mungkin juga bukan ahli PPBM.”