Henti stigma agensi agama lemah, tak pandai urus tadbir, kata Zulkifli

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Mohamad.

PUTRAJAYA: Menteri Hal Ehwal Agama Zulkifli Mohamad menyarankan supaya dihentikan stigma bahawa orang dan agensi agama sebagai lemah dan tidak pandai urus tadbir.

Beliau berkata, perkara itu akan cuba dicapai dengan mengambil tindakan seperti menghendaki pegawai di kementerian beliau mengemukakan kad laporan secara mingguan mengenai kerja yang mereka dilakukan.

“Saya nak kerja dengan keikhlasan, amanah, profesional, adil dan integriti tinggi.

“Setiap bulan jika dipanjangkan umur, saya akan memberi hadiah kepada pekerja yang melebihi sasaran tinggi seperti (kerja) 200%. Kita akan umum kepada seluruh jabatan,” katanya ketika berucap pada Majlis Tausiah ‘Am di Dewan Solat Utama, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini, hari ini.

Dalam ucapannya juga, Zulkifli turut menekankan konsep masa yang disifatkannya seperti emas.

Beliau berkata, masa adalah berkait rapat dengan kehidupan.

“Oleh itu kita mahu sentiasa datang awal, ‘punch card’ awal dan siap (kerja) awal.

“Kedua kena tepat masa dan tindakan mesti pantas. Tindakan tidak boleh lambat sebab kemajuan adalah bersama kepantasan. Tanpa kepantasan itu satu kelemahan,” katanya.

Bekas mufti Wilayah Persekutuan itu merupakan antara 2 tokoh bukan politik yang dilantik sebagai anggota Kabinet oleh perdana menteri ke-8 Muhiyiddin Yassin susulan pelantikan beliau ke jawatan itu oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah pada 1 Mac lepas.

Tokoh bukan politik kedua yang dilantik menganggotai Kabinet ialah bekas ketua eksekutif CIMB Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau menggantikan Lim Guan Eng sebagai menteri kewangan baru berikutan tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) susulan peletakan jawatan perdana menteri gabungan politik itu Dr Mahathir Mohamad pada 24 Mac.