Indonesia tahan 2 rakyat Malaysia cuba seludup keluar 12,000 topeng muka

Orang ramai memakai topeng muka bagi mencegah penyebaran Covid-19.

MEDAN: Polis Indonesia menahan 2 rakyat Malaysia selepas didakwa cuba menyeludup keluar kira-kira 12,000 topeng muka.

Pegawai di lapangan terbang antarabangsa di Medan mulai curiga dan memeriksa beg pasangan itu ketika mereka hendak menaiki penerbangan ke Kuala Lumpur semalam, kata pihak berkuasa.

Mereka ditahan kerana disyaki menyorok topeng muka, kata polis ketika menyoal siasat suspek berusia 44 tahun dan 42 tahun itu yang mendakwa mereka merancang untuk mengedarkan topeng muka itu kepada kanak-kanak di Malaysia untuk mengelak jangkitan Covid-19.

Topeng muka itu dirampas dan suspek akan dihantar pulang hari ini tanpa sebarang tuduhan jenayah, tambah mereka.

“Kami tidak menemui apa-apa kelakuan jenayah selepas menyoal siasat mereka, jadi mereka akan dihantar pulang,” kata jurucakap polis Tatan Dirsan Atmaja.

Indonesia melancarkan tindakan terhadap mereka yang menyorok topeng muka selepas jangkitan pertama Covid-19 disahkan bulan ini yang mendorong pembelian panik dan menyebabkan harga produk itu melonjak.

Polis minggu ini merampas kira-kira 1.9 juta topeng muka dari sebuah gudang di Surabaya.