Kerajaan baru akan teruskan perbincangan MA63, kata KM Sarawak

Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg.

KUCHING: Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg berkata perbincangan sebelum ini mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan diteruskan oleh kerajaan Perikatan Nasional.

“Menurut menteri-menteri kanan, mereka akan meneruskan apa saja yang dibincangkan oleh jawatankuasa khas kabinet untuk mengkaji semula pelaksanaan MA63.

“Semuanya akan dibawa ke hadapan. Kami tidak akan mulakannya sekali lagi,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran seminar fatwa peringkat negeri, hari ini.

Disember lalu, 17 daripada 21 perkara yang dibentangkan oleh kerajaan Sabah dan Sarawak pada mesyuarat jawatankuasa khas Kabinet untuk mengkaji semula pelaksanaan MA63 dipersetujui secara bersama dengan beberapa proses pelaksanaan.

“Kami mahu ia diselesaikan segera. Perkara itu tidak boleh ditangguhkan,” kata Abang Johari.

Beliau juga berkata mereka memutuskan untuk tidak menambah frasa “menurut Perjanjian Malaysia 1963” dalam Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan.

Sebaliknya, beliau berkata Gabungan Parti Sarawak (GPS) mencadangkan pindaan Perkara 160(2) mengenai definisi “persekutuan”.

Terdahulu, Abang Johari berkata GPS mahu perkataan dalam Perkara 1(2) diubah kerana kerajaan Pakatan Harapan enggan meminda Perkara 160(2).

Beliau berkata terserah kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk membentangkan semula perlembagaan untuk mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi setaraf dengan semenanjung.

Abang Johari juga berkata beliau berpuas hati dengan barisan Kabinet baru, menggambarkannya sebagai “baik”.

“Kami mempunyai 4 menteri, termasuk menteri kanan.

“Kami juga ada menteri yang menjaga urusan Sabah dan Sarawak. Saya fikir ia bagus dan sebahagian daripada apa yang kita mahu,” katanya.