Kertas Putih Pertahanan diteruskan, kata Ismail Sabri

Menteri Pertahanan yang baru dilantik Ismail Sabri Yaakob memulakan tugas di kementerian berkenaan hari ini.

KUALA LUMPUR: Kertas Putih Pertahanan (KPP) yang diluluskan kerajaan terdahulu akan diteruskan sebagai panduan dalam membuat perancangan Kementerian Pertahanan Malaysia (Mindef).

Menterinya yang baru, Ismail Sabri Yaakob berkata, kertas putih itu juga akan digunakan dalam membuat perancangan dan pelaksanaan jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang kementerian berkenaan.

“Kerajaan ini akan kekal komited dalam memastikan pertahanan negara terus diperkukuh dan diperkasakan untuk tempoh 10 tahun akan datang seperti digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan.

“Kertas Putih Pertahanan yang diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 2 Disember 2019 akan menjadi panduan utama Mindef dalam membuat perancangan dan pelaksanaan jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang.

“Ini adalah bukti bahawa kerajaan yang baru terbentuk ini adalah matang dan sentiasa mengamalkan demokrasi.

“Pertahanan negara adalah satu agenda negara yang tidak boleh dikompromi dan setiap dasar yang telah dipersetujui di Parlimen akan dilaksanakan sebaik mungkin oleh kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan selepas hadir di Wisma Kementerian Pertahanan bagi memulakan tugas rasmi hari ini.

Ismail berkata, dalam menerajui kementerian itu, beliau akan memberi fokus kepada pembangunan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Mindef juga akan terus memberi perhatian kepada kebajikan anggota dan veteran ATM, serta warga awam yang bertugas di Kementerian Pertahanan.

“Kebajikan merupakan salah satu elemen penting dalam tahap kesiagaan yang tidak boleh diambil remeh dan perlu diberi keutamaan sewajarnya oleh kerajaan.

“Saya percaya dengan khidmat dan nasihat ketua setiausaha, Muez Abd Aziz dan panglima ATM, Affendi Buang, semua peringkat kepimpinan Mindef, saya dan timbalan dapat melaksanakan tugas dengan berkesan demi negara yang tercinta,” katanya.

Ismail berkata, beliau berharap semua pihak memberi peluang kepada kerajaan baru pimpinan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dalam membentuk pentadbiran negara lebih baik.

Terdahulu Ismail memulakan tugas rasminya sebagai menteri pertahanan.

Beliau tiba pukul 9.30 pagi di Dataran Wisma Pertahanan di Jalan Padang Tembak di sini, disambut timbalannya Ikmal Hisham Abdul Aziz yang turut memulakan tugas rasminya hari ini.

Ismail, yang juga menteri kanan, menerima tabik hormat kawalan kehormatan utama daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja diketuai Mohd Izham Ahmad Rashidi.

Sebaik tiba, beliau mengimbas kad sebagai tanda memulakan tugas di kementerian itu dan mengaminkan bacaan doa serta beramah mesra dengan petugas kementerian.

Ismail dan Ikmal mengangkat sumpah jawatan dan setia serta sumpah simpan rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, di Istana Melawati pada Selasa.