KKM sahkan 9 kes baru Covid-19, 6 pulih

Kerajaan menyekat kemasukan pelancong dari Denmark akibat kebimbangan penularan Covid-19.

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan 9 kes baru Covid-19, menjadikan jumlah kumulatif positif virus itu sebanyak 158 kes di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham juga berkata seramai 6 kes pulih sebelum dibenarkan pulang, menjadikan jumlah yang sembuh seramai 32 orang.

“Pada masa ini terdapat 3 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi yang memerlukan bantuan alat pernafasan dan mereka dalam keadaan stabil,” katanya menerusi Facebook.

Beliau berkata, daripada 158 kes itu, 26 kes adalah kalangan pesakit yang dipantau, 127 kes (kontak rapat), 2 kes (severe acute respiratory infection) dan 2 (misi bantuan kemanusiaan).

Semalam, seorang lelaki warga tempatan berusia 60 tahun dan mempunyai sejarah menghadiri perjumpaan ijtimak tabligh di Masjid Sri Petaling pada 28 Feb hingga 1 Mac lalu disahkan positif Covid-19.

Noor Hisham berkata, lelaki yang diklasifikasi sebagai kes ke-131 itu mula mengalami gejala demam, batuk dan selsema pada 4 Mac, sebelum mengalami sesak nafas pada 8 Mac dan dimasukkan ke Hospital Bentong pada hari sama.

Sekat pelancong dari Denmark

Kerajaan juga mengambil keputusan mengenakan sekatan perjalanan terhadap semua rakyat Denmark dan warganegara asing yang datang dari negara itu susulan penularan Covid-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohd Redzuan Yusof berkata mereka juga dilarang membuat transit di mana-mana pintu masuk negara, berkuatkuasa 14 Mac.

“Rakyat dinasihatkan menangguhkan perjalanan ke Denmark sekiranya perjalanan berkenaan tidak mendesak atas faktor risiko mendapat jangkitan semasa berada di negara terbabit.

“Rakyat Malaysia, penduduk tetap dan pemegang pas jangka panjang yang tiba dari Denmark akan dikenakan perintah ‘home quarantine’ selama 14 hari,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, Semua warga asing tanpa mengira kewarganegaraan, yang pernah ke China, Korea Selatan, Itali dan Iran dalam tempoh 14 hari lalu, dilarang memasuki Sarawak berkuat kuasa serta-merta.