Masjid di Singapura ditutup 5 hari untuk penyahjangkitan

PETALING JAYA: Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) mengumumkan semua masjid di republik itu ditutup sekurang-kurangnya 5 hari mulai esok untuk penyahjangkitan, kerana individu yang didapati positif Covid-19 mungkin mengunjunginya.

Perkembangan ini selepas kira-kira 90 rakyat Singapura menyertai satu acara besar-besaran di Kuala Lumpur dari 27 Feb hingga 1 Mac 2020, dan beberapa individu terbabit didapati positif.

Ia juga mengumumkan semua aktiviti masjid termasuk solat Jumaat setiap minggu digantung selama 2 minggu.

“Aktiviti komunal seperti solat berjemaah (harian dan Jumaat) boleh mendedahkan jemaah kepada penyebaran virus oleh mereka yang tidak dijangka telah dijangkiti.

“Jawatankuasa Fatwa mengeluarkan fatwa mengenai keizinan menutup masjid dan menangguhkan solat Jumaat secara berjemaah di mana keperluan timbul demi kepentingan kesihatan dan keselamatan awam,” kata MUIS dalam satu kenyataan.

Kuliah, kelas agama dan sesi tadika juga digantung selama 2 minggu datang.

MUIS berkata langkah itu bagi mengelakkan kemungkinan jangkitan Covid-19 di masjid-masjid, menekankan bahawa ia hanya bersifat sementara.

Ia berlaku selepas 90 warga Singapura disahkan antara 10,000 yang menghadiri ijtimak tabligh Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur dari 27 Feb hingga 1 Mac lalu.

Perhimpunan itu dikaitkan dengan pesakit warga Malaysia dan Brunei yang kedua-duanya diuji positif Covid-19.

Menteri Kesihatan Malaysia, Dr Adham Baba dilaporkan berkata masjid itu akan ditutup sementara untuk proses disinfeksi.

Sementara itu, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong menggesa pengawasan berterusan, menekankan bahawa perkembangan terkini di peringkat antarabangsa mungkin bermakna negara itu akan berdepan virus berkenaan untuk tempoh yang lebih lama.

Beliau berkata ia perlu mengutamakan langkah pencegahan jangka panjang dan sederhana serta persediaan secara psikologi sekiranya keadaan lebih buruk.

“Lihat Itali… hanya 3 kes dalam 3 minggu lalu tetapi sekarang terdapat lebih 7,000 kes.

“Kita mesti berhati-hati sebelum menghadiri mana-mana perhimpunan, termasuk perhimpunan agama. Kita sudah mempunyai 2 kes melibatkan peserta tabligh di Kuala Lumpur.

“Dalam saat-saat sukar seperti ini, saya harap anda memahami dan menyokong kaedah-kaedah praktikal ini untuk mengurangkan bilangan jemaah dan memendekkan khutbah untuk menjaga keselamatan sesama jemaah,” katanya.