Menteri agama, Kelantan rayu jemaah ijtimak tabligh jalani ujian Covid-19

Van Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya kelihatan berada berada di pekarangan Masjid Sri Petaling, hari ini.

PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Zulkifli Mohamad Al-Bakri meminta peserta yang menghadiri ijtimak tabligh di Masjid Seri Petaling, Kuala Lumpur pada pada 28 Feb hingga 1 Mac lalu supaya segera menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah.

Dalam satu kenyataan hari ini, Zulkifli berkata ia seiring dengan saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi membendung penularan jangkitan Covid-19.

“Mereka yang berkenaan diminta menghubungi Pusat Kesiapsiagaan dan Respon Krisis (CPRC) Kebangsaan KKM atau Pejabat Kesihatan Daerah,” katanya.

Semalam, seorang lelaki warga tempatan berusia 60 tahun dan mempunyai sejarah menghadiri perjumpaan ijtimak tabligh di Masjid Seri Petaling disahkan positif Covid-19.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham memberitahu semua Jabatan Kesihatan negeri sedang menjalankan siasatan lanjut ke atas lebih 5,000 rakyat negara ini yang dipercayai menyertai perhimpunan tabligh susulan kes pertama Covid-19 dikesan di Brunei.

“Berdasarkan maklumat awal, perhimpunan tabligh ini melibatkan anggaran sejumlah 10,000 orang dari beberapa negara termasuk Malaysia. Peserta dari Malaysia adalah dianggarkan melebihi 5,000 orang,” katanya.

Menurut laporan Reuters, 11 kes Covid-19 di Brunei dikaitkan dengan ijtimak tabligh tersebut. Dipercayai kira-kira 90 warga Brunei menghadirinya.

Sementera itu, Jabatan Kesihatan Kelantan juga akan membuat hebahan bagi mengesan jika ada jemaah tabligh dari negeri itu menghadiri perhimpunan tersebut.

Pengarahnya, Dr Zaini Hussin berkata hebahan akan dilakukan menerusi pelbagai platform termasuk media sosial, cetak dan elektronik serta pengumuman di masjid-masjid.

“Jabatan Kesihatan Kelantan sudah sedia maklum dengan situasi itu dan menasihatkan mereka yang hadir ke perhimpunan itu supaya membuat pemeriksaan di hospital atau klinik kesihatan.

“Ia penting bagi mengetahui sama ada mereka mempunyai tanda-tanda atau tidak dijangkiti COVID-19. Pada masa yang sama, kita jangkakan kemungkinan mulai hari ini akan ada mereka yang terlibat tampil melakukan pemeriksaan,” katanya memetik laporan Bernama.

Menteri Hal Ehwal Islam Singapura, Masagos Zulkifli menyatakan kebimbangan terhadap kes Covid-19 di mana 95 warganya menghadiri perhimpunan itu.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan Singapura kini sedang menyiasat dan mengenal pasti rakyatnya yang menyertai perhimpunan tersebut.

“Jika anda pernah berada di sana, sila lakukan pemeriksaan doktor – untuk melindungi orang yang tersayang dan di sekeliling anda. Sesiapa yang kurang sihat, sila dapatkan rawatan perubatan dengan segera,” katanya menerusi Facebook, hari ini.