Pengurusan masjid nafi ijtimak tabligh punca Covid-19 tersebar

Beberapa individu yang mempunyai sejarah menghadiri ijtimak tabligh selama 3 hari di Masjid Sri Petaling disahkan positif Covid-19.

KUALA LUMPUR: Masjid Sri Petaling masih menjadi tumpuan jemaah tabligh dari seluruh negara berhimpun, walaupun terdapat beberapa individu yang mempunyai sejarah menghadiri perhimpunan selama 3 hari disahkan positif Covid-19, kata pengurusan masjid.

Timbalan Pengerusinya, Mohd Salleh Abd Mubin berkata, persepsi masyarakat mengaitkan masjid itu sebagai “punca” penularan Covid-19 adalah tidak tepat memandangkan perkara itu masih belum dibuktikan secara klinikal oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Saya tidak mahu perkara ini di luar kawalan sehingga nama masjid ini timbul dan pelbagai persepsi terjadi. Tidak tepat apabila ada persepsi yang timbul mengatakan puncanya adalah disebabkan perhimpunan tempoh hari, kita sudah berapa tahun buat perhimpunan, kebetulan sahaja musim ini musim dia (Covid-19).

“Kita juga tidak tahu sama ada orang yang disahkan positif itu sudah kena sebelum datang ke ijtimak, selepas perhimpunan atau semasa dalam kapal terbang. Sebab itu kita tidak mahu isu ini diperbesarkan kerana ia tidak sesuai,” katanya kepada FMT.

Tinjauan FMT mendapati urusan solat di masjid berkenaan berjalan seperti biasa. Malah, pihak pengurusan turut menyediakan cecair pembasmi kuman di beberapa sudut masjid.

Terdapat juga beberapa jemaah tabligh mengambil inisiatif dengan memakai topeng muka semasa berada di masjid berkenaan.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham memberitahu semua Jabatan Kesihatan negeri sedang menjalankan siasatan lanjut ke atas lebih 5,000 rakyat negara ini yang dipercayai menyertai perhimpunan tabligh pada 28 Feb hingga 1 Mac lalu.

Ia susulan terdapat seorang lelaki warga tempatan berusia 60 tahun yang mempunyai sejarah menghadiri perhimpunan itu disahkan Covid-19.

Menurut laporan Reuters, 11 kes Covid-19 di Brunei turut mempunyai kaitan dengan ijtimak tabligh tersebut.

Mengulas lanjut, Salleh berkata selepas berita mengaitkan masjid itu tersebar, pihak KKM hadir sejak semalam untuk membuat ujian saringan kepada 400 pelajar tahfiz yang berada berhampiran dengan masjid berkenaan dan pihaknya mengalu-alukan tindakan diambil terhadap jemaah masjid.

“Kita tidak boleh paksa pihak berkuasa untuk bertindak, menurut saya pihak berkuasa tahu apa yang seharusnya mereka buat. Cumanya persepsi awam sahaja yang sukar untuk ‘dibunuh’ kerana maklumat mudah sangat bergerak. Kita hadapinya dengan baik sahajalah,” katanya.

Menurutnya, ijtimak itu dihadiri lebih 10,000 jemaah yang majoritinya adalah warga tempatan, namun terdapat seramai 1,500 orang jemaah dari luar negara yang terdiri daripada 25 negara, termasuk dari negara jiran, Jepun dan Arab Saudi.

“Sebahagian besar jemaah sudah balik dan ada antara mereka sedang keluar dari masjid serta sebahagiannya dalam perancangan untuk keluar, dalam masa 2 minggu hingga sebulan lagi.

“Bagi pihak masjid, kita sudah sampaikan kepada mereka yang hadir kalau ada gejala buatlah pemeriksaan,” katanya.

Ketika ditanya mengenai arahan Menteri Hal Ehwal Agama, Zulkifli Al-Bakri supaya setiap masjid memendekkan khutbah Jumaat, Salleh berkata ia merupakan satu keputusan dan pihaknya akan mematuhi arahan berkenaan.

“Selepas ijtimak tempoh hari, kita tidak ada sebarang aktiviti lagi yang melibatkan orang awam dalam skala yang besar melainkan solat Jumaat,” katanya.